PKR cabar Husni tuduh Anwar liwat anak saudara di luar Dewan Rakyat

johari-abdul-husniKUALA LUMPUR: PKR hari ini mencabar Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (BN-Tambun) mengulangi tuduhan anak saudaranya diliwat bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Dewan Rakyat agar tindakan undang-undang boleh diambil.

Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) berkata sekiranya benar tuduhan itu, bekas menteri kewangan itu harus membuat laporan polis terhadap Anwar dan bukannya berdiam diri.

“Tambun, kamu buat kenyataan itu di luar Dewan Rakyat, bahawa anak saudara diliwat Anwar Ibrahim. Saya ajak kawan-kawan untuk buat laporan qazaf. Jika dia tidak boleh buktikan liwat itu, kita akan ambil tindakan terhadap dia,” kata Johari di Dewan Rakyat hari ini.

Secara amnya, ahli Dewan Rakyat menikmati imuniti daripada prosiding sivil dan jenayah terhadap perkara yang dibahaskan dan yang dibuat di dalam sesi Parlimen.

Johari berkata Husni tidak berlaku adil kerana Anwar tidak dapat membela diri daripada tuduhan itu. Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas disabitkan kesalahan liwat pada 2015.

“Dewan Rakyat sepatutnya hanya bincangkan mengenai isu rakyat. Tidak eloklah, berpolitik kena ada gaya sedikit. Saya minta Tambun bawa anak saudaranya buat laporan polis,” katanya.

Husni mendakwa Anwar “terlibat” dengan anak saudaranya semasa mengkritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat Rabu lalu.

“Anda kenal siapa Dr Mahathir? Saya tahu. Saya Menteri Kewangan II. Saya tahu apa yang berlaku masa beli Pos Malaysia, di Perwaja. Saya tahu. Anda tahu siapa Muhyiddin. Anda tidak tahu, tetapi saya tahu. Anda tahu siapa Anwar Ibrahim? Saya orang Anwar Ibrahim, saya tinggalkan dia.

“Selepas dia berhenti jadi Timbalan Perdana Menteri, saya bantu dia, pergi ke Bukit Damansara. Bila dia terlibat dengan liwat. Dia terlibat dengan anak buah saya. Kami semua menangis, saya pergi ke Jordan,” kata Husni.

Johari turut membidas Husni kerana membuat tuduhan terhadap bekas ketuanya dan kawan-kawannya kerana hendak mendapatkan kembali kedudukannya.

“Pada minggu lepas dia buat pusingan U sokong Pekan (Datuk Seri Najib Razak), sokong Kerajaan Persekutuan. Itu tidak mengapa, biasalah sebagai ahli Parlimen, tetapi dia mengeluarkan kata kesat terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir dan juga bekas timbalan perdana menteri, Muhyiddin dan Anwar Ibrahim.

“Kalau nak buat pusingan U, sokong perdana menteri sokonglah. Tetapi hendak dapatkan kedudukan balik dengan menghentam kawan-kawan ini suatu yang tidak manis,” katanya.