Exco Pemuda Umno kecam tindakan mempolitikkan balak di Sabah

Armizan-Mohd-Ali-pembalakan-sabahPETALING JAYA: Seorang exco Pemuda Umno hari ini mengecam tindakan pihak tertentu sengaja mempolitikkan aktiviti pembalakan sah di Sabah untuk menjejaskan kredibiliti kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Musa Aman dengan menyebarkan rakaman video sederet lori membawa muatan balak di Jalan Sapulut-Kalabakan, baru-baru ini.

Datuk Armizan Mohd Ali berkata, balak yang diangkut lori berkenaan sebenarnya diperolehi melalui aktiviti pembalakan sah di Kalabakan dan Keningau.

Katanya, lori berkenaan kemudiannya berhenti di kawasan stesen Jabatan Perhutanan untuk menjalani pemeriksaan.

“Sebahagiannya sedang ditahan dan disaman kerana kesalahan prosedur pengangkutan seperti membawa muatan berlebihan dan saiz yang tidak menepati had ditetapkan bagi muatan sebuah lori.

“Sewajarnya pihak berkenaan mengalu-alukan tindakan tersebut kerana terbukti penguat kuasa berkaitan melaksanakan tanggungjawab dengan tegas, namun mereka memilih untuk berkongsi cerita rekaan tanpa fakta tepat tentang keadaan yang sedang berlaku dalam video berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pemuda Umno bahagian Papar itu berkata, penguatkuasaan itu menunjukkan komitmen Sabah untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil pembalakan kerana sumber itu tidak mampan dan kerajaan negeri komited kepada agenda global yang mengutamakan pengurusan ekosistem secara mapan.

Katanya, ia dibuktikan menerusi tindakan mengazet 52% keluasan Sabah sebagai hutan simpanan, Kawasan Perlindungan Penuh (TPAs) di Sabah ditambah daripada 11% bersamaan 850,000 hektar pada 2004 kepada 26% (1.9 juta hektar) tahun lalu.

“Ia jauh lebih tinggi daripada Amerika Syarikat (14%) dan Australia (15%). Dalam tempoh 5 tahun lagi, Sabah menyasarkan TPAs mencecah 30%.

“Sabah juga giat melaksanakan program penanaman semula kawasan hutan dan kini telah melebihi keluasan 700,000 hektar.”

Armizan berkata, pengurusan hutan di Sabah sekarang diiktiraf sebagai yang terbaik di Malaysia kerana kadar kebergantungan kepada hasil balak berkurangan daripada 85% kepada kira-kira 13% hari ini.

Katanya, Sabah berjaya melakukan transformasi ekonomi dengan mempelbagaikan sumber pendapatan tanpa menyebabkan hasilnya menyusut selepas kerajaan negeri mengurangkan kebergantungan kepada sektor pembalakan.

“Pada 1972, dalam keadaan di mana negeri bergantung penuh kepada hasil balak, hasil kerajaan negeri hanya pada kadar RM172 juta setahun. Sebaliknya pada 2016, hasil kerajaan negeri telah meningkat berkali ganda mencecah lebih RM3.5 bilion dan hanya 13% datangnya daripada hasil balak.”