Isu tanah Sungai Yu: Jangan petik nama, tapi kerajaan, kata exco

V-Ganabatirau

SHAH ALAM: Exco V Ganabatirau menegur Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) kerana mengatakan jawapan berhubung isu pemberian tanah secara haram di Sungai Yu diberikan oleh beliau dan bukan daripada kerajaan boleh mengelirukan Dewan Negeri Selangor.

V Ganabatirau membuat teguran itu selepas Sulaiman mendakwa semakan ke atas senarai penerima tanah yang diberikan Ganabatirau pada sidang DNS lepas menemui 18 belas nama dengan butiran pengenalan palsu.

Ganabatirau merupakan exco yang memegang portfolio kemiskinan, kerajaan prihatin dan pekerja ladang.

“Saya minta yang berhormat Permatang jangan kelirukan Dewan. Adakah jawapan berkenaan ditandatangan oleh saya? Anda rujuk nama saya, sepatutnya Permatang perlu nyatakan jawapan itu daripada kerajaan, bukan memetik nama Kota Alam Shah.

“Jaga adab. Permatang rujuk kerajaan dan kita akan buat semakan,” katanya ketika mencelah Sulaiman di DNS hari ini.

Sulaiman di perbahasan Belanjawan Selangor 2018 hari ini mahu Ganabatirau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan kerana memberikan kenyataan salah berhubung pemberian tanah di Sungai Yu di DUN Permatang.

Pada satu sidang media selepas itu, Adun Permatang itu juga mendakwa kerajaan negeri memberi tanah tersebut kepada kroni sehingga mereka yang tidak berkelayakkan turut menerima inisiatif tersebut termasuklah yang berpangkat doktor dan guru.

Ditemui di luar DNS, Ganabatirau menggesa Sulaiman membuat laporan polis mengenai dakwaan itu. “Sebab setahu saya, saya tak tulis jawapan tersebut dan saya kurang pasti tentang jawapan tersebut.”

Beliau meragui pendedahan Sulaiman itu kerana dokumen kerajaan yang diproses memerlukan nama serta nombor kad pengenalan yang sah.

“Segala permohonan itu tanpa kad pengenalan bagaimana ia dapat diluluskan? Bila keluar Notis 5A tak akan kita nak letak nama Ramli Bin Ahmad tanpa letak nombor kad pengenalan.”

Ganabatirau berkata beliau sedia dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor ( Selcat) untuk membongkar perkara berbangkit.

Ogos tahun lalu, Penduduk kaum India Kampung Sungai Yu dilaporkan menggesa Azmin menarik semula pemberian kesemua 153 lot tanah yang diagihkan menerusi skim rancangan tanah kampung tersebut.

Ini kerana mereka mendakwa berlaku amalan nepotisme dan salah guna kuasa dalam pengagihan lot tanah penempatan semula kawasan itu yang didakwa didalangi seorang Exco kerajaan negeri.

Presiden Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), Rajaretinam Armuggan, yang bersama penduduk kaum India Kampung Sungai Yu, mendakwa sebahagian lot tanah-tanah tersebut diagihkan kepada “kroni”.

Penduduk berharap selepas tindakan pembatalan penyerahan kesemua lot tanah terbabit dibuat, ia diagihkan semula dengan adil dan telus kepada mereka yang benar-benar berhak.

Tindakan itu menyebabkan penduduk asal yang rata-ratanya miskin tidak mendapat hak mereka.

Mengikut kriteria yang ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor, mereka yang layak menerima lot tanah yang bernilai sekitar RM130,000 itu adalah mereka yang berketurunan India, seorang warga asal Kuala Selangor, berusia 30 tahun dan ke atas, berpendapatan bawah RM3,000, serta tidak memiliki sebarang hartanah.