Pengarah surau: Kami bantu semua ciptaan Allah, termasuk anjing

George-Town-Taman-Free-School-1PETALING JAYA: Sebuah surau di Pulau Pinang yang dipuji masyarakat kerana memberi perlindungan kepada 70 orang bukan Islam apabila banjir melanda kawasan mereka berkata surau itu tidak akan menutup pintu kepada mereka yang perlukan bantuan, termasuk anjing.

Pengarah Surau Sekolah Free School, George Town, Zakaria Malik hari ini berkata pihak pengurusan surau tidak akan mengusir sesiapa termasuk anjing kerana semua makhluk ciptaan Tuhan.

“Bukan setakat manusia tapi anjing pun kami selamatkan dan dibiarkan di perkarangan surau sehingga air surut kerana anjing pun ciptaan Allah,” katanya di Facebook.

zakaria-malik-3Dalam kenyataan itu, Zakaria menyuarakan penghargaan kepada ahli jawatankuasa surau dan penduduk Taman Free School yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.

“Saya amat berbangga mempunyai ahli jawatankuasa dan penduduk yang memberi bantuan di masa yang amat genting, bilal dan anak kariah yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa di waktu yang sangat genting, antara jam 3.00 pagi hingga 5.00 pagi, bergelut dengan air yang deras menggunakan bot tanpa enjin.

“Kalaulah di waktu itu ada orang ambil gambar, barulah orang-orang yang beri komen negatif akan faham keadaan sebenar kenapa orang-orang yang diselamatkan ditempatkan di surau.

“Ada yang terpaksa membuka baju disebabkan kesejukan melampau,” katanya.

Beliau berkata surau mereka sudi menawarkan perlindungan kepada mangsa banjir kerana semua ciptaan Tuhan.

“Dalam bergelut dengan keadaan air yang deras, kami lakukan apa yang terdaya dengan niat manusia itu semua sama ciptaan Allah. Mana tahu Allah akan bagi hidayah pada orang yang di bantu.”

Zakaria turut berterima kasih kepada jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat dalam usaha menyelamat.

“Terima kasih juga kepada semua pihak dan jabatan yang datang memberi bantuan seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tentera yang sehingga hari ini memberi bantuan pembersihan dan juga memberi bantuan peralatan dan makanan kepada penduduk yang terjejas.

“Terima kasih juga kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan juga Exco Jagdeep Singh Deo atas kehadiran ke tempat kami.”