Pesta durian Malaysia di China raih kontrak RM2.87 bilion

durian-china-singapore

PETALING JAYA: Hanya dalam tempoh 3 hari, pengusaha durian tempatan berjaya memeterai perjanjian dianggarkan berjumlah RM2.87 bilion menerusi Pesta Durian Malaysia 2017 yang dianjurkan di Nanning, China mulai 3 November lalu.

“Jumlah urus niaga Pesta Durian Malaysia 2017 pada 2 hari pertama mencecah 4 bilion yuan (RM2.5 bilion),” katanya penganjur bersama pesta itu, Dominic Su yang dipetik Sin Chew Daily.

Ketua pegawai eksekutif Regal International itu berkata, jumlah pelawat yang mengunjungi acara 3 hari itu mencecah 165,000 orang berbanding sasaran 100,000 orang.

Katanya, ada sanggup terbang khas dari Liaoning atau memandu selama 5 jam ke Nanning semata-mata untuk menikmati durian Musang King atau menemui pengusaha raja buah itu.

“Pesta durian yang diadakan julung kali ini mencapai prestasi di luar jangkaan sehinggakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganggap ini satu kejayaan.”

Sehubungan itu, beliau berharap pesta durian ini boleh dijadikan acara tahunan dan Nanning boleh dijadikan asas mereka sebelum diperluaskan ke bandar lain.

Su berkata, bandar Nanning yang terletak di wilayah Guangxi mempunyai jolokan “Bandar Musang King Malaysia” kerana ia merupakan laluan yang menyambungkan 10 negara Asean dalam inisiatif “One Belt One Road”.

Katanya, Guangxi boleh menjadi pusat pengedaran Musang King, buah-buahan tropika dan produk berkaitan durian ke Nanning dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia di tenggara China.

Pada masa sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut menemui pegawai tertinggi beberapa syarikat besar di China, termasuk Jingdong Group Co Ltd yang merupakan salah satu peruncit atas talian terbesar di negara itu dan Fusido Holding Group Co Limited.

Antara isu dibincangkan mereka ialah cara memasarkan durian, kopi, nanas, sarang burung dan makanan laut diproses ke negara itu, termasuk secara atas talian.