Umno: Hukuman akan tiba bila hutan ditebang, pembangunan tidak betul

zahidi-zainul

KUALA LUMPUR: Datuk Zahidi Zainul Abidin (BN-Padang Besar) berkata hukuman akan tiba apabila pemerintah melakukan kerosakan seperti menebang hutan di kawasan bukit, mengurus pembangunan secara tidak betul atau melaga-lagakan sesama agama.

Beliau berkata perbuatan menghina agama atau menganjurkan pesta yang bertentangan dengan agama sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat juga boleh mengundang bencana.

“Jangan lupa kadang-kadang apabila kita lakukan perkara tidak baik…sudah tentulah hukuman akan tiba dan rakyat menderita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Zahidi dalam perbahasannya menyentuh mengenai bencana banjir yang melanda wilayah utara Malaysia Barat, terutamanya Pulau Pinang menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air setinggi 1 meter, dan meragut 7 nyawa.

Zahidi melahirkan rasa sedih kepada nasib penduduk di wilayah utara yang mengharungi banjir sejak 3 hari lalu.

“Kalau ada duit buat pengurusan yang tidak betul itu, kita sumbang balik bantu masyarakat Pulau Pinang terutamanya ketua menteri,” katnya.