DAP: Hanya orang bermasalah otak kaitkan banjir P Pinang dengan hukum karma

tony-pua-banjirKUALA LUMPUR: Tindakan mengaitkan bencana banjir di Pulau Pinang sebagai hukum karma adalah petanda seseorang itu mempunyai masalah otak, kata wakil rakyat DAP.

“Kalaulah segala bencana terjadi kerana menghina agama, apa yang boleh kita katakan pula terhadap bencana yang berlaku di negara yang beragama?” soal Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua kepada pemberita di Parlimen hari ini.

“Jika terjadi di Kelantan, apakah maksudnya? Jika berlaku di Kuala Lumpur, apa pula maksudnya? Kita tidak boleh kaitkan bencana dengan agama. Ia tidak sepatutnya dikaitkan. Orang yang hendak kaitkan bencana dengan agama ada masalah otak,” katanya

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan cubaan mengaitkan musibah yang berlaku di Pulau Pinang dengan hukum karma sebagai politik murahan.

“Bila bencara berlaku kita bantu, jangan mengkritik. Kita tumpu membantu dan tunjukkan keprihatinan kita. Itu ujian daripada Tuhan,” kata pemimpin Amanah itu.

“Pandai-pandai hendak keluarkan hujah sebegitu. Banyak negeri dilanda banjir seperti Kedah dan Kelantan. Tidak boleh dengan sewenang-wenangnya beri kesimpulan sebegitu,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, hukuman akan tiba apabila pemerintah melakukan kerosakan seperti menebang hutan di kawasan bukit, mengurus pembangunan secara tidak betul atau melaga-lagakan sesama agama.

Tambah Zahidi, perbuatan menghina agama atau menganjurkan pesta yang bertentangan dengan agama sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat juga boleh mengundang bencana.

“Jangan lupa kadang-kadang apabila kita lakukan perkara tidak baik… sudah tentulah hukuman akan tiba dan rakyat menderita,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Banjir di Pulau Pinang awal minggu lalu dikatakan antara yang terburuk pernah melanda negeri itu sejak 1995. Dalam masa kurang 24 jam, Pulau Pinang mencatat jumlah hujan bersamaan 1 bulan setengah, dan sesetengah kawasan ditenggelami air sehingga 1m.

Bencana itu mengorbankan 7 orang, di samping memaksa lebih 4,000 penduduk berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga memusnahkan harta benda.

Jabatan Meteorologi meramalkan lebih banyak hujan akan turun di wilayah utara Malaysia Barat.