Institut Wanita Berdaya tawar RM50,000 kaji isu wanita, kanak-kanak

zuraida-anakku
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Wanita Berdaya (IWB), Zuraida Kamaruddin ketika merasmikan Majlis Pelancaran Geran Penyelidikan IWB dan Program Perlindungan Kanak-Kanak Selangor.

KUALA LUMPUR: Institut Wanita Berdaya (IWB) menawarkan geran khas kepada mereka yang berhasrat menjalankan penyelidikan membabitkan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, individu atau organisasi boleh memohon geran penyelidikan sebanyak RM50,000 manakala dana RM20,000 pula untuk program selama setahun.

“Keutamaan diberikan kepada penyelidikan dan program yang memberi impak kepada Selangor dan ini juga dibuka kepada pelajar yang menjalankan tesis mengenai hak kanak-kanak,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Geran Penyelidikan IWB dan Program Perlindungan Kanak-kanak Selangor, hari ini.

IWB ditubuhkan kerajaan Selangor pada 4 Oktober lalu untuk merangka dasar dan strategi bagi memperkasakan serta meningkatkan status sosio ekonomi wanita, institusi keluarga dan kanak-kanak di negeri itu.

Sementara itu, Zuraida berkata, IWB akan menganjurkan 10 program perlindungan kanak-kanak di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan ibu bapa mengenai hak golongan bawah umur itu.

Katanya, perlindungan kepada kanak-kanak sangat penting kerana gangguan seksual ke atas golongan itu berleluasa di dalam negara.

“Sudah tiba masanya kita mengadakan program pendedahan, seminar atau ceramah agar anak-anak tahu hak mereka dan bagaimana melindungi diri (daripada) pencabul.”

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, program berkenaan dianjurkan bersama “Protect and Save the Children” yang merupakan NGO pakar dalam isu dan masalah penderaan kanak-kanak.

“Program ini akan bermula pertengahan November ini melibatkan 600 kanak-kanak, 400 ibu bapa dan 50 pelatih.”

Katanya, dalam kebanyakan kes, mangsa tidak berani mengadu dan ibu bapa pula tidak dapat menerima hakikat anak mereka dicabul.