Pemimpin AS hanya peduli jika penyerang bernama Mohammad, kata pengacara

Joe-Scarborough

PETALING JAYA: Seorang pengacara TV di Amerika Syarikat (AS) menyelar sikap berat sebelah ahli politik negaranya dalam menangani isu serangan dan keganasan.

Pengacara “Morning Joe”, Joe Scarborough mendakwa ahli politik AS hanya tangkas memberi respon jika serangan dikaitkan dengan Islam.

“Jika lelaki bernama Mohammad yang menyerang gereja itu semalam, oh Tuhanku. Oh Tuhanku. Pagi ini, Washington akan gempar.

“Tetapi apa yang kita dengar daripada mereka ialah ‘mari kita berdoa. Saya rasa sangat teruk’,” katanya memetik laporan portal Stepfeed.

Beliau mendakwa walaupun terdapat banyak siri tembakan di AS yang kerap dilakukan warga kulit putih, kebanyakan ahli politik AS tepis masalah itu.

Tetapi, apabila serangan dilakukan individu yang dikaitkan dengan pengganas Islam, ahli politik segera mengutuk dan menggesa tindakan drastik, katanya.

Ahad lalu, seorang lelaki kulit putih, Devin Patrick Kelley melepaskan tembakan rambang di sebuah gereja di Sutherland Springs, Texas yang mengorbankan 26 orang dan 20 lagi cedera.

Gabenor Texas Greg Abbott berkata, serangan itu paling dahsyat dalam sejarah Texas dan difahamkan kebanyakan mangsa terbunuh berusia antara 5 hingga 72 tahun.

Manakala pada 31 Oktober lalu, seorang pemandu trak keturunan Uzbekistan, Sayfullo Saipov, membunuh 8 orang dan mencederakan lebih sedozen lagi apabila dia memandu memasuki laluan basikal di bandar raya New York.

Pihak berkuasa menganggap serangan itu serangan pengganas IS.

Scarborough kecewa dengan sikap berat sebelah terang-terangan itu, terutamanya apabila Presiden AS Donald Trump garang di Twitter selepas serangan Saipov.

Walaupun angka kematian dalam serangan Saipov jauh lebih rendah berbanding serangan Kelley, Trump lebih tenang dan mengaitkan serangan Devin kepada masalah kesihatan mental.