Bilal bantu mangsa bukan Islam pertikai agihan bantuan tak adil

Sapno-TukijoPETALING JAYA: Lelaki di sebalik surau di Pulau Pinang yang melindungi mangsa banjir bukan Islam mempersoalkan agihan bantuan tidak adil kepada penduduk setempat yang lebih teruk terjejas.

Bilal Surau Taman Free School di George Town, Sapno Tukijo dipetik Sin Chew Daily mendakwa penduduk di Lengkok P Ramlee yang lebih teruk terjejas tidak mendapat bantuan kerajaan pusat.

Katanya, bantuan peralatan asas diagihkan kepada penduduk Flat Taman Penang Free School ketika Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melawat pangsapuri itu Isnin lalu, tetapi mangsa banjir di Lengkok P Ramlee diabaikan.

Beliau berkata, anggota tentera menggunakan pembesar suara meminta mangsa banjir mengambil barang keperluan asas, tetapi mungkin ada sesetengah penduduk yang tidak tahu berbahasa Melayu tidak mendapat bantuan itu.

Isteri Sapno berkata, pengagihan itu ternyata berat sebelah apabila penduduk flat di tingkat 2 ke atas yang tidak terjejas dengan banjir itu turut mendapat barang bantuan kerajaan pusat.

Dalam pada itu, Sapno yang berasal dari Indonesia dan menetap di Malaysia sejak 23 tahun lalu berkata, beliau sudah banyak kali mengemukakan permohonan untuk mendapat status penduduk tetap.

Bagaimanapun, lelaki berusia 50 tahun itu berkata, semua permohonannya ditolak kerajaan.

Bapa kepada 6 anak itu tidak tahu apa alasan terhadap penolakan itu.

Wartawan berseloroh permohonannya kali ini pasti diluluskan kerajaan kerana beliau sudah terkenal selepas dipuji perdana menteri atas tindakannya membenarkan mangsa banjir Cina dan India berteduh di surau itu.

Sapno tersenyum sambil berkata: “Harap-haraplah”.

Isnin lalu, sekeping gambar menunjukkan sekumpulan mangsa banjir yang berseluar pendek atau tidak berbaju, berlindung di Surau Taman Free School, tersebar di media sosial selepas Pulau Pinang dilanda banjir kilat pada hujung minggu.

Isnin lalu, Sapno dilaporkan berkata, surau itu membuka pintu kepada 70 mangsa banjir Cina dan India yang tinggal di kampung sekitar Lengkok P Ramlee.

Beliau berkata, walaupun berbeza agama, nyawa manusia lebih penting baginya daripada kecaman masyarakat.

Pengarah surau itu, Zakaria Malik berkata, pihak pengurusan surau tidak akan mengusir mereka yang perlukan bantuan, termasuk anjing kerana ia adalah makhluk ciptaan Tuhan.

Keesokannya, Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebooknya memuji tindakan jawatankuasa surau dan masjid di Pulau Pinang membuka pintu kepada mangsa banjir untuk berteduh, tanpa mengira agama dan kaum mereka.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan contoh semangat 1Malaysia Negaraku yang patut diamalkan.

Najib puji surau, masjid dibuka untuk mangsa banjir

Bilal: Nyawa mangsa banjir lebih penting daripada kecaman masyarakat