Penganut kepercayaan pribumi Indonesia boleh papar agama pada IC

indonesia-idPETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Perlembagaan Indonesia membenarkan penganut kepercayaan pribumi memaparkan kepercayaan mereka pada kad pengenalan dipuji sebagai langkah utama untuk kebebasan beragama di negara itu, lapor Jakarta Globe.

Mahkamah pada Selasa mengisytiharkan perkataan “agama” pada Perkara 61(1) dan Perkara 64(1) Undang-undang Pentadbiran Sivil bercanggah dengan Perlembagaan 1945 dan tidak mengikat secara undang-undang.

Ketetapan yang sama juga digunapakai pada Perkara 6(2) dan Perkara 64(5) undang-undang itu.

Mahkamah mencadangkan penciptaan kategori ke-7 pada bahagian “agama” sebagai tambahan kepada 6 agama sedia ada iaitu Islam, Katolik, Protestan, Buddha, Hindu dan Konfusius.

Pada 2016, penganut 4 kepercayaan pribumi iaitu Marapu, Paralim, Ugamo Bangsa Batak dan Sapto Darmo memfailkan semakan kehakiman dengan alasan undang-undang tersebut melanggar prinsip persamaan dan bersifat diskriminasi.

Warganegara Indonesia dikehendaki mengisi ruang “agama” pada kad pengenalan tetapi mereka juga diberi pilihan untuk tidak mengisi ruangan itu, kata Menteri Dalam Negeri Tjahjo Kumolo tahun lalu.

CNN Indonesia memetik hakim Mahkamah Perlembagaan Maria Farida Indrati sebagai berkata tidak mengisi ruangan agama tidak menjamin keadilan dan undang-undang terhadap penganut agama lain dan kadang-kala menyukarkan rakyat mendapat kad pendaftaran keluarga (KK) dan e-KTP.

Hakim Saldi Isra berkata usaha mencipta perintah pentadbiran sivil tidak boleh “mengurangi hak warganegara termasuk hak kebebasan beragama dan kepercayaan”.