PRU14: Rahman Dahlan bakal beralih ke Sepanggar?

rahman-dahlan-ge14-sabah-1KOTA KINABALU: Selepas 2 penggal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Belud, khabar angin mengatakan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mungkin beralih ke kerusi Sepanggar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menurut sumber Barisan Nasional (BN) dalam satu kumpulan di kawasan Parlimen Sepanggar, menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sudah mendapat restu pemangku ketua Umno bahagian Sepanggar.

Bagaimanapun, satu lagi puak mahu Datuk Jumat Idris dikekalkan di kerusi itu. Kata mereka, jika tidak menurunkan Jumat, mereka mahu pemimpin tempatan bukannya “orang luar” seperti Rahman.

Antara nama dikemukakan kumpulan berkenaan ialah aktivis belia Inanam, Jerry Goh.

Bercakap kepada FMT, Goh terkejut tetapi terharu dengan cadangan itu.

“Saya faham mengapa mereka mahu orang tempatan kerana kami lebih memahami isu di sini.

“Bagaimanapun, saya rasa ini hanya akan memecahkan lagi perpaduan di kalangan ahli dan penyokong BN di sini yang sudahpun rapuh.”

Ahli majlis tertinggi Persatuan Sino Kadazan Dusun Murut Sabah itu berkata, pengundi terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar Sepanggar cenderung menyokong pembangkang.

“Apabila saya tanya penduduk mengenai keadaan politik semasa, mereka kata ‘asalkan kita tukar kerajaan’. Sememangnya penduduk luar bandar masih penyokong tegar BN, tetapi itu bukan isu utama.

“Sepanggar mempunyai lebih 50,000 pengundi berdaftar pada 2013 dan saya rasa jumlah itu sudah meningkat. Kawasannya sangat besar, ia memerlukan lebih 2 jam untuk pergi dari satu hujung ke hujung lain.

“Untuk menguruskan kawasan Parlimen besar, kita perlu seseorang yang cekal dan berpengalaman untuk mengenal pasti keperluan untuk membangunkan Sepanggar,” katanya.

Mengetepikan peluangnya dicalonkan untuk kerusi itu, Goh berkata, beliau lebih suka kawasan itu diwakili pemimpin terbukti kemampuannya.

Pemimpin itu, katanya, perlu mampu menarik sokongan pengundi atas pagar untuk memilih BN semula.

Beliau tidak bersetuju calon itu perlu berasal dari sana, asalkan beliau ialah rakyat Sabah, tempat kelahirannya tidak menjadi masalah.

“Jika benar Rahman akan bertanding di sini, saya rasa itu pilihan baik. Kami tahu beliau seorang menteri dan boleh banyak membantu kami di sini.

“Rahman banyak menyumbang kepada Kota Belud. Ia adalah rahman bagi penduduk Sepanggar untuk mempunyai ahli Parlimen seperti beliau.”

Goh berkata, puak berbeza dalam BN perlu bersatu untuk memastikan parti itu dapat mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU14.

Rahman memenangi kerusi Parlimen Kota Belud pada 2013 dengan majoriti 5,095 undi, walaupun peratusan pengundi lebih rendah, iaitu 51.44% berbanding 54.62% pada 2008.

Kerusi Sepanggar yang diwujudkan pada 2004 dimenangi BN sejak itu.

Pada PRU13, Jumat yang meraih 22,845 undi memenangi kerusi Sepanggar dengan majoriti 9,442 undi, mengalahkan pencabar terdekatnya, Jeffrey Kumin daripada PKR yang sekadar mendapat 13,403 undi.

Bagaimanapun, keahliannya dalam Umno digantung selama 3 tahun pada 2015, selepas mengkritik Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman secara terbuka menerusi Facebook.

Dalam catatan Facebook itu, Jumat mencadangkan Musa digantikan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai ketua Umno Sabah kerana Shafie ialah presiden Umno ketika itu.

Shafie kemudiannya meninggalkan Umno untuk mengetuai Parti Warisan Sabah.

Kerusi Sepanggar dianggap kerusi panas kerana pernah menjadi rebutan Parti Bersatu Sabah, Parti Liberal Demokratik dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Selepas kerusi itu diwujudkan, ia diberikan kepada Parti Maju Sabah (SAPP) sehinggalah parti itu meninggalkan BN selepas PRU 2008 untuk menyertai pembangkang.

Sejak itu, kerusi berkenaan dipegang Umno.