Usaha Khairuddin ketepi waran wakili Jho Low ditetap 19 Disember
Khairuddin berkata, waran yang beri kuasa kepada firma guaman untuk bertindak bagi pihak Jho Low menimbulkan kesangsian.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada 19 Disember untuk mengenepikan waran yang berupa memberi kuasa kepada sebuah firma guaman untuk mewakili Low Taek Jho, dalam tuntutan meminta berlian merah jambu 22-karat yang didakwa kini berada dengan Datin Seri Rosmah Mansor dikembalikan.
Peguamnya, Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata, permohonan akan didengar di hadapan Hakim Ahmad Zaidee Ibrahim.
“Hakim juga akan mendengar permohonan oleh Rosmah dan 1MDB pada 18 Januari untuk membatalkan saman itu,” kata Syed Iskandar kepada pemberita selepas satu pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar K Pavani.
Syed Iskandar sudah memaklumkan Pavani yang peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram akan hadir bagi pihak Khairuddin dalam penghujahan kedua-dua permohonan.
Bulan lepas, Khairuddin, seorang bekas pemimpin Umno, berkata, Tetuan Ng Aik Guan tidak mempunyai kuasa untuk mewakili ahli perniagaan itu yang juga dikenali sebagai Jho Low, kerana waran itu menimbulkan kesangsian.
Khairuddin berkata beliau percaya, Jho Low yang tidak dapat dikesan, sudah tiada di Malaysia.
“Defendan kedua (Jho Low) tidak pernah muncul di Malaysia atau di mana-mana pun untuk menafikan fakta ini,” katanya.
Pada 19 September, Khairuddin berkata firma guaman itu menulis kepada peguamnya mengatakan Jho Low melantik mereka untuk mewakilinya, tetapi surat itu tidak mengeluarkan bukti pemberian kuasa yang betul.
Katanya, peguamnya menulis kepada firma guaman itu, yang menjawab dengan menghantar waran untuk bertindak bagi pihak Jho Low, yang berupa ditandatangani oleh ahli perniagaan itu.
Bagaimanapun, Khairuddin berkata, pemeriksaan teliti ke atas waran yang dikatakan itu mendedahkan yang ianya adalah palsu.
Tambah beliau, peguammnya menjawab yang mereka mempertikaikan kuasa firma itu untuk bertindak bagi pihak Jho Low.
Khairuddin, yang menghantar 10 afidavit untuk menyokong permohonannya untuk mengenepikan waran itu.
Beliau mendakwa Jho Low tidak mahu mendedahkan negara domisilnya kerana Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) sedang mencarinya.
Beliau berkata, beliau bergantung kepada maklumat daripada akhbar Singapura, The Straits Times.
Pada 15 Ogos, Khairuddin memfailkan tuntutan yang meminta perintah mahkamah dikeluarkan ke atas Rosmah untuk kembalikan set berlian dalam bentuk rantai bernilai AS$27.3 juta (RM115 juta) kepada 1MDB.
Khairuddin berkata 1MDB memperoleh AS$6.5 bilion (RM27.36 bilion) dengan meminjam daripada peminjam luar negara, dan syarikat itu adalah pemilik benefisial.
Beliau mendakwa Jho Low melakukan pencurian atau pecah amanah ke atas pinjaman yang dikatakan itu, dan tidak mempunyai sebarang hakmilik dalam undang-undang atau ekuiti ke atas wang itu.
Khairuddin berkata antara Jun 2013 dan Mac 2014, Jho Low, bertindak menerusi agennya, Tan Kim Loong, membeli barang kemas daripada Loraine Schwartz di New York.
Jabatan Kehakiman AS (DoJ) memfailkan 2 tuntutan perampasan sivil terhadap aset bernilai AS$1.8 bilion (RM7.58 bilion) yang mereka dakwa dibeli dengan dana dicuri daripada 1MDB.
Tuntutan itu tindakan undang-undang terbesar dibawa melalui Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi DoJ.
Tuntutan pertama difailkan pada 21 Julai tahun lepas yang mana perkataan “MO1 (Malaysian Official 1) disebut 36 kali.
Pada 15 Jun, DoJ dalam fail mahkamahnya, berkata hampir AS$30 juta (RM126.3 juta) didakwa dicuri daripada dana 1MDB dan digunakan untuk membeli barang kemas.
Pemfailan yang dibuat di mahkamah daerah Los Angeles di AS berkata pembelian barang kemas itu adalah untuk isteri “MO1”.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Peguam Yazid Mustaqim Roslan hadir mewakili Rosmah, Rishwant Singh mewakili Jho Low dan Cains Tan mewakili 1MDB.