Alasan DAP bela nasib Melayu kelakar, kata PAS

idris-ahmad_Yeop-Adlan_dap_600

PETALING JAYA: PAS menyifatkan alasan bekas diplomat, Datuk Yeop Adlan Che Rose meninggalkan parti Islam itu untuk menyertai DAP kerana tidak mampu membela nasib orang Melayu sebagai kelakar.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, Yeop Adlan tidak perlu membuat kenyataan itu kerana orang ramai boleh menilai sendiri kemampuan parti Islam itu.

“Itu alasan kelakar. DAP bela Melayu alasan kelakar.

“Hakikatnya dia bukan ahli PAS lagi, orang boleh nilai sendiri, tak perlu komen,” katanya ketika dihubungi FMT bagi mengulas penyertaan Yeop Adlan dalam DAP secara rasmi hari ini.

Yeop Adlan menyertai PAS pada 2003 dan dipilih sebagai calon kerusi Parlimen Hulu Langat pada pilihan raya umum (PRU) 2004 dan ahli jawatankuasa Lajnah Antarabangsa parti Islam itu.

Beliau kemudiannya “dipinjamkan” kepada PKR sebagai ahli Majlis Tertinggi parti itu pada 2006, sebelum kembali bersama PAS pada 2009.

Beliau memutuskan untuk meninggalkan PAS kerana parti Islam itu tidak mampu membela nasib Melayu.

Beliau tidak pernah menyertai Umno walaupun berkhidmat dengan kerajaan hampir 30 tahun kerana melihat parti itu belum berjaya membela nasib orang Melayu.

Mengulas lanjut, Idris berkata, Yeop Adlan melompat ke DAP tidak merugikan PAS kerana beliau tidak memberi sebarang sumbangan kepada parti, selain tidak lagi aktif atau berhubung dengan parti Islam itu.

“Tindakan Yeop Adlan itu dari segi undang-undang parti (PAS), kalau dia menyertai parti lain automatik dia dipecat dan bukan ahli PAS lagi.

“Dia tidak perlu hantar surat rasmi untuk membatalkan keahliannya,” katanya ketika ditanya status Yeop Adlan dalam PAS.

Dalam sidang media hari ini, Yeop Adlan mengakui belum menghantar surat untuk membatalkan keahliannya dalam PAS.

Katanya, beliau akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Penyertaan bekas penjawat awam berusia 74 tahun itu dalam DAP diuar-uarkan sejak 2 November lalu melalui saluran media sosial DAP kerana meyakini kerajaan Pulau Pinang yang diterajui parti dilabelkan anti-Melayu itu serta sumbangannya kepada pembangunan Islam.

Sementara itu, Yeop Adlan berkata, beliau tidak mengharapkan sebarang jawatan dalam DAP, tetapi berjanji akan menggunakan pengalamannya dalam sektor awam untuk membantu DAP mendapat sokongan rakyat.

“Buat masa ini saya ahli DAP di cawangan Petaling Jaya Utara.

“Saya tidak kisah mengenai jawatan. Apa yang penting untuk membela nasib Melayu,” katanya ketika ditemui FMT di Ibu Pejabat DAP hari ini.

Katanya, beliau akan kembali aktif dalam politik selepas mendakwa tidak diendahkan PAS.

“Saya akan kembali menyertai ceramah-ceramah DAP dan menerangkan kepada orang Melayu mengenai ketirisan dalam Umno. Saya juga akan menerangkan cara Umno takutkan orang kampung (dengan mendakwa) jika DAP menang, kaum Cina akan berkuasa, itu salah.

“DAP parti untuk semua kaum. Kita lihat Umno dan PAS yang mahu perjuangkan Melayu juga belum berjaya.

“Tetapi, baru 2 penggal DAP memerintah Pulau Pinang, kita lihat lebih baik. Bukti sudah ada, apa lagi kita nak tunggu.”

Bekas diplomat ikut jejak bapa sertai DAP