Musim tengkujuh diramal bermula Isnin hingga Mac depan

Northeast-monsoon

KUALA LUMPUR: Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula 13 November ini hingga Mac 2018 dengan hujan lebat diramalkan berlaku di Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menurut Jabatan Meteorologi (METMalaysia), 4 hingga 5 episod hujan lebat dijangka berlaku pada musim tengkujuh kali ini.

“Episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor pada November dan Disember 2017. Pada Disember 2017 dan Januari 2018, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di barat Sarawak serta utara dan timur Sabah,” menurut METMalaysia dalam kenyataan hari ini.

Ia berkata, semasa Monsun Timur Laut, hujan berterusan untuk tempoh sehingga 3 hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan cenderung banjir.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, risiko kejadian banjir akan menjadi lebih buruk,” kata jabatan itu.

Ia menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dan bersiap siaga dalam menghadapi musim tengkujuh ini serta sentiasa peka dengan amaran hujan lebat yang dikeluarkan METMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, Facebook: malaysiamet, Twitter: @malaysianmet, perkhidmatan SMS 15888 dan MMD Hotline di talian 1 300 22 1MET (1638).