Wanita Vietnam didakwa rasuah pegawai APMM RM800,000

Tran-Thi-Mai_aw_60

KUANTAN: Seorang wanita Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menawarkan suapan RM800,000 kepada 2 pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Ahad lalu.

Pengakuan Tran Thi Mai, 41, direkodkan di depan Hakim Dazuki Ali selepas pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Melayu memandangkan tertuduh mengaku fasih dalam bahasa tersebut selepas 17 tahun menetap di negara ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan itu dalam bentuk wang tunai kepada seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyamar sebagai orang tengah untuk diserahkan kepada Kapten Nurul Hizam Zakaria dan Kapten Amran Daud, pada jam 9.40 pagi, 5 November lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di sini sebagai dorongan bagi melepaskan 9 bot nelayan Vietnam yang ditahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Tran didakwa mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh yang bukan warganegara dan juga tidak berstatus penduduk tetap.

“Siasatan SPRM juga mendapati tertuduh merupakan pemilik syarikat pengusaha bot nelayan dan dikhuatiri jika diberikan jaminan, tertuduh boleh melarikan diri bukan dengan menaiki kapal terbang, tetapi melalui perairan.

“Bagaimanapun, pihak kami berharap jika mahkamah mahu membenarkan jaminan, ia harus mengambil kira nilai rasuah iaitu RM800,000 dan pihak pendakwaan mohon jaminan ditetapkan sebanyak RM1 juta dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Peguam tertuduh, G K Sritharan merayu jaminan dibenarkan kerana anak guamnya yang beralamat di Bukit Sekilau di sini, tidak akan melarikan diri memandangkan dia memiliki harta di Malaysia kerana menyertai program “Malaysia My Second Home” (MM2H) yang mewajibkan pemilikan harta di negara ini.

Beliau menambah tertuduh juga tidak akan melarikan diri kerana mempunyai 4 anak dan bersedia dengan apa sahaja syarat tambahan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah serta mahu “menghadapi perbicaraan penuh”.

“Saya difahamkan RM800,000 itu sebenarnya diberikan kepada beliau sebagai ejen untuk membeli sebuah bot, bukan sebagai wang rasuah. Apa yang berlaku pada masa ini adalah suatu spekulasi yang belum dibuktikan.

“Sebagai ejen, tertuduh memperoleh pendapatan bulanan antara RM4,000 hingga RM5,000. Saya difahamkan akaun tertuduh dibekukan dan tidak mampu membayar sehingga RM1 juta. Tertuduh hanya boleh menjelaskan jaminan sebanyak RM30,000,” katanya.

Dazuki selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dengan 2 penjamin warganegara Malaysia.

Sebagai syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Disember ini.

SPRM tahan 22 termasuk wanita Vietnam bergelar Datuk