Pekerja OKU lebih bagus daripada individu normal, kata penyelia

Muhammad-Md-Noor_pekaeja_600
Muhammad Md Noor ditugaskan menjaga kebersihan dalam bangunan Parlimen sejak 5 bulan lalu.

KUALA LUMPUR: Ketika ahli Parlimen dan wartawan membanjiri Parlimen untuk sesi pembentangan Bajet 2018 oleh perdana menteri akhir bulan lalu, beberapa individu berbaju seragam merah bertungkus lumus menjaga kebersihan lantai dan tandas di sekitar Dewan Rakyat.

Muhammad Md Noor, 29, ditugaskan menjaga kebersihan dalam bangunan Parlimen, termasuk tandas sejak 5 bulan lalu.

Dari luaran, Muhammad sama dengan individu lain, tetapi anak jati Kelantan itu sebenarnya dilahirkan bisu dan pekak.

Beliau bersama 8 orang kelainan upaya (OKU) lain antara 20 pekerja kontrak pembersihan yang bertanggungjawab menjaga kebersihan keseluruhan kawasan Parlimen.

Muhammad akan memulakan tugas seawal 7.30 pagi hingga 4.30 petang dari Isnin hingga Sabtu dengan bayaran RM1,300 sebulan tanpa kerja lebih masa.

Muhammad Shazuli Zaini mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan tugasnya menyelaras dan berkomunikasi dengan pekerja OKU.
Muhammad Shazuli Zaini mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan tugasnya menyelaras dan berkomunikasi dengan pekerja OKU.

Penyelianya, Muhammad Shazuli Zaini, 28, senang bekerja dengan OKU di bawah seliaannya kerana mereka rajin dan tidak banyak kerenah.

“Memang mereka kalau bekerja lebih bagus daripada individu normal, walaupun bermasalah untuk berkomunikasi tetapi taklah serumit yang kita sangka,” katanya kepada FMT.

Beliau mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan tugasnya menyelaras dan berkomunikasi dengan pekerjanya.

“Memang saya kena belajar bahasa isyarat, tapi dalam 10 pekerja OKU, kita akan lantik 1 ketua mewakili mereka dan kita akan beri arahan kepada ketua mereka.”

Selain OKU, katanya, syarikat pembersihan tempat beliau bekerja turut menerima warga emas.

“Kita ada juga ambil remaja bekerja, tetapi mereka kerja tidak lama kemudian berhenti. Datang kerja 2, 3 hari kemudian tidak datang langsung.

“Kalau macam mereka (OKU) ini rajin, memang ada yang berhenti, tetapi kemudian mereka mohon kerja semula.”

Selain bangunan Parlimen, syarikatnya turut menghantar pekerja OKU ke Menara TM di Jalan Pantai Baru dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Di Parlimen paling ramai, hampir 10 orang, 2 daripada mereka perempuan. Tempat lain ada 1 atau 2 orang sahaja.”

Katanya, pihak pengurusan Parlimen meminta syarikat itu mengekalkan pekerja OKU sedia ada di sana.

“Mereka di bawah kontrak kontraktor lama, tapi bila syarikat saya dapat tender pembersihan, Parlimen sendiri minta mereka dikekalkan.”

Ketika ditanya sama ada beliau selesa bekerja di Parlimen, Muhammad menunjukkan isyarat “bagus”.

Selepas selesai wawancara, Muhammad terus menyambung kerjanya dengan membawa bersama baldi dan mop.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihak pengurusan Parlimen sememangnya menerima pekerja seperti Muhammad.

“Boleh…kita terima siapa sahaja yang mahu kerja di Parlimen,” katanya kepada FMT.