Pembekal ubat dakwa orang tengah kaut berjuta melalui konsesi

ubat_600

PETALING JAYA: Seorang pembekal perubatan yang berpangkalan di Johor Bahru mendakwa syarikat farmaseutikal yang berperanan sebagai orang tengah mengaut keuntungan berjuta ringgit melalui perjanjian konsesi.

Pembekal yang bekerjasama dengan hospital kerajaan di Melaka dan Johor Bahru lebih 10 tahun itu berkata, beliau meninggalkan syarikat lama selepas menyedari tidak mampu mencapai sasaran jualan untuk mendapat insentif seperti dahulu.

“Ini sebabnya saya bekerja untuk syarikat lain supaya saya boleh bekerja secara langsung dengan hospital swasta,” kata lelaki berusia 36 tahun itu kepada FMT.

Beliau berkata, ada syarikat cuba tidak menaikkan harga dengan cadangan menghentikan dasar menjual ubat daripada syarikat asing kepada hospital kerajaan menerusi syarikat Bumiputera yang berperanan sebagai orang tengah.

“Kami tanya jika kami boleh berurusan terus dengan hospital untuk mengekalkan harga rendah, tetapi mereka tidak benarkan.

“Kami perlu melalui agensi Bumiputera orang tengah. Ini dasar Malaysia untuk semua syarikat farmaseutikal asing. Tiada jalan lain.”

Pembekal itu berkata, “paling melucukan” ialah syarikat orang tengah itu tidak perlu pergi ke hospital, berjumpa dengan doktor atau mengetahui butiran produk berkenaan.

“Mereka seperti rakan kongsi senyap yang bekerja sebagai orang tengah. Saya perlu membuat kerja itu, tetapi saya tetap perlu melalui mereka dan mereka yang mendapat keuntungan.”

Katanya, syarikat orang tengah itu boleh mendapat komisen 2% hingga 5% yang kadangkala jumlahnya mencecah berjuta ringgit.

“Mereka mendapat 2% hingga 5% komisen tanpa membuat apa-apa.

“Ia (komisen) mungkin nampak kecil, tetapi apabila tempahan banyak mencecah berjuta-juta, mereka mengaut keuntungan besar.”

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mengubah dasar bagi melindungi pesakit dan sektor penjagaan kesihatan di negara ini.

“Dana tambahan perlu disediakan sejajar peningkatan pesakit. Kamu tidak boleh memotong peruntukan untuk penjagaan kesihatan.

“Sekurang-kurangnya kekalkan bajet, jangan potong peruntukan lagi.”

Pada 23 Oktober lalu, FMT melaporkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kenaikan kos sara hidup menyebabkan ramai pesakit beralih daripada hospital swasta kepada hospital kerajaan.

Pembekal itu berkata, punca utama jumlah pesakit di hospital kerajaan bertambah disebabkan harga yang dikenakan hospital swasta.

“Mereka menaikkan harga lebih tinggi, khasnya apabila kamu menggunakan insurans,” katanya yang menyedari insurans ramai pesakit “kehabisan kuota” selepas seketika.

“Sebuah pusat perubatan swasta yang merupakan pelanggan saya sebelum ini menaikkan harga 1 beg nutrisi tambahan yang saya jual kepada mereka untuk RM125 hingga RM1,000.”

Kekurangan dana

Pembekal itu berkata, jumlah pesakit semakin meningkat disebabkan populasi berusia.

“Setiap tahun, populasi berusia bertambah, jadi adalah normal jumlah pesakit bertambah. Tetapi, dengan peningkatan jumlah pesakit, kami mendapati dana untuk hospital kerajaan dikurangkan beberapa tahun ini.

“Saya menganggarkan dana dikurangkan kira-kira 10% hingga 30% setiap tahun.”

Beliau mendakwa hospital kerajaan perlu menangani masalah itu bersendirian.

“Saya mempunyai pengalaman di mana ketua jabatan di hospital sangat marah dengan situasi itu menyebabkan mereka menutup dewan bedah supaya tiada pembedahan atau prosedur boleh dilakukan.

“Ini untuk menghantar mesej kepada kerajaan yang mereka tiada dana dan memerlukan wang tambahan.”

Beliau memberi contoh sebuah hospital tidak mempunyai dana untuk membeli bekalan menjahit luka, 2 tahun lalu.

“Bagaimana hendak melakukan prosedur lain jika kamu tiada wang untuk membeli bekalan?” soalnya.

Mengenai laporan kenaikan harga ubat generik yang ditempah hospital kerajaan, beliau berkata, harganya mungkin naik 3 kali ganda daripada ubat asli.

“Contohnya sebiji ubat kolestrol mungkin berharga RM5, tetapi versi generik mungkin kurang daripada RM1.”

Pada 31 Oktober lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dilaporkan berkata, sehingga 58% ubat yang diagihkan ke hospital dan klinik kerajaan adalah ubat generik, selebihnya ialah ubat rekaan atau ubat asli.

Syarikat orang tengah main peranan penting

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, syarikat farmaseutikal orang tengah seperti Pharmaniaga yang dilantik Kementerian Kewangan memainkan peranan penting.

“Mereka ialah syarikat logistik untuk mengedarkan ubat. Kami mempunyai hampir 145 hospital, kira-kira 1,400 klinik besar dan 3,000 klinik kecil.

“Syarikat ini memainkan peranan dalam mengedarkan ubat kepada mereka semua. Kerja logistik sebenarnya besar dan kerja itu diberikan kepada Pharmaniaga,” katanya ketika menghadiri rumah terbuka Deepavali Kementerian Belia dan Sukan, baru-baru ini.

Mengenai dakwaan syarikat itu mendapat komisen dengan mengenakan harga lebih tinggi, beliau berkata, mereka mendapat “komisen tertentu” berdasarkan jumlah dibekalkan yang merupakan kos logistik.

“Ini melalui perjanjian konsesi yang ditandatangani dengan Kementerian kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU). Mereka ikut formula itu.”

Dr Subramaniam berkata, syarikat seperti Pharmaniaga diperlukan untuk operasi hospital dan klinik.

“Jika ia adalah syarikat kecil (syarikat farmaseutikal asing) yang membekalkan satu produk, kami tidak boleh mengharapkan syarikat ini membekalkan ubat itu ke seluruh Sabah dan Sarawak.

“Ini sebabnya kontrak diberikan kepada sebuah entiti tunggal yang mempunyai mekanisme, kemudahan logistik dan penyimpanan untuk membeli serta menyimpan bekalan.”

Katanya, entiti seperti itu wujud di banyak negara, tetapi pembekal menafikannya.

“Entiti ini tidak wujud di negara lain. Rakan saya di Indonesia tidak pernah dengar syarikat konsesi seperti itu yang membekalkan ubat.”

Ramai beralih ke hospital kerajaan kerana GST, kos sara hidup

58% ubat di hospital kerajaan ubatan generik, kata timbalan menteri