Tiada permohonan ekstradisi, polis pantau pergerakan Zakir Naik

Fuzi-Harun_zakir-naik_600

KUALA LUMPUR: Polis memantau aktiviti harian penceramah kontroversi Zakir Naik dengan rapat dan setakat ini tiada permohonan untuk tindakan proses ekstradisi diberikan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Macam mana kita nak ambil tindakan sekiranya tiada permohonan dibuat? Sekarang kita cuma pantau tindakan dan pergerakan beliau sama ada boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Unit Tindakan Khas (UTK) di Cheras hari ini.

Fuzi berkata polis akan bertindak terhadap Zakir jika perlu, namun setakat ini penceramah itu bebas bergerak seperti mana orang lain.

“Secara dasarnya kita tahu kedudukan sebab dia personaliti yang menarik perhatian jadi kita akan buat tindakan sewajarnya kerana ini adalah perkara yang penting.”

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak terima permohonan ekstradisi daripada India dan Putrajaya akan membantu sekiranya New Delhi membuat permohonan rasmi berdasarkan kepada Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

Pihak berkuasa India mendakwa penceramah berusia 52 tahun itu membiayai keganasan dan Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) memfailkan tuduhan terhadapnya di mahkamah, minggu lalu.

Zakir didakwa di bawah Akta Kegiatan Menyalahi Undang-Undang (Pencegahan) kerana didakwa menghasut belia melakukan keganasan dan menyertai kumpulan pengganas global seperti IS.

Sebelum ini, NIA dilaporkan memohon Interpol mengeluarkan notis merah bagi menghalang pengasas Yayasan Penyelidikan Islam (IFR) itu meninggalkan Arab Saudi, selepas beliau berulang kali ingkar memberi kerjasama terhadap siasatan ke atasnya.

Zakir kali terakhir dilihat pada 29 September lalu menyertai solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya. Gambar beliau bersama jemaah dimuat naik ke Facebook dan tersebar di media sosial.

Terbaharu, Zakir Naik melantik sebuah firma guaman di Malaysia, selepas kerajaan India dilaporkan dalam peringkat akhir mengekstradisi pendakwah kontroversi itu ke negara asal untuk siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang dan keganasan.