BN mahu gambarkan DAP ‘parti orang Cina’, Guan Eng beritahu kongres

guan-eng

SHAH ALAM: Lim Guan Eng di Kongres Khas DAP hari ini, di mana berlangsungnya pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat untuk kali ke-3, berkata matlamat Barisan Nasional (BN) adalah menggambarkan DAP sebagai “parti orang Cina” yang dianggap bahaya untuk orang Melayu.

“Kita perlu meyakinkan semua orang, sama ada Melayu atau bukan-Melayu, bahawa kita DAP bukanlah ancaman kepada sesiapa, malah kita akan membina negara yang kita cintai ini bersama dengan semua rakyat Malaysia,” kata setiausaha agung DAP itu dalam ucapan pembukaan kongres di IDCC Shah Alam hari ini.

Pemilihan kali ini yang dijalankan atas arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bakal memilih kira-kira 20 pembuat keputusan yang akan mengemudi parti itu.

Berdasarkan senarai calon 2012, seramai 62 calon layak bertanding dan 6 daripadanya mengumumkan keluar parti dan seorang meninggal dunia sekaligus hilang kelayakan bertanding.

Guan Eng berkata pilihan raya akan datang, yang selewat-lewatnya perlu dipanggil tahun depan, adalah persaingan antara perasaan takut dan harapan untuk Malaysia baru.

“Pakatan Harapan perlu menawarkan harapan dan semangat solidariti serta muhibah kepada semua rakyat Malaysia di kala Umno dan BN sedang berusaha untuk memecahbelahkan kita semua,” katanya.

Oleh itu, DAP dan gabungan pembangkang harus memainkan peranan membina bangsa Malaysia yang berasaskan daya empati, saling hormati-menghormati dan percaya antara satu sama lain.

“Ini adalah perlu untuk melawan kebencian, perpecahan dan syak-wasangka yang ditabur oleh Umno dan BN,” kata Guan Eng.

Beliau berkata Pilihan Raya Umum ke-14 mengemukakan cabaran yang berbeza daripada pilihan raya terdahulu.

“Datuk Seri Anwar sekali lagi berada di dalam penjara, dan tidak boleh bertanding. PAS pula sekadar menjadi rakan dengan Umno dan BN, manakala BN semakin rancak bermain isu perkauman dan sentimen agama semata-mata mahu memenangi undi Melayu,” katanya.

Berikut adalah senarai calon yang terpilih pada pemilihan 2013:

1. Liew Chin Tong – 1,438 undi (tempat ke-14 undi terbanyak pada pemilihan 2012)

2. Lim Kit Siang – 1,436 (ke-1)

3. Karpal Singh – 1,421 (ke-3)

4. Gobind Singh – 1,409 (ke-7)

5. Lim Guan Eng – 1,304 (ke-2)

6. Chong Chieng Jen – 1,294 (ke-4)

7. Anthony Loke Siew Fook – 1,263 (ke-5)

8. Chow Kon Yeow – 1,203 (ke-13)

9. Fong Kui Lun – 1,193 (ke-10)

10. Teng Chang Khim – 1,164 (ke-9)

11. Tony Pua – 1,158 (ke-8)

12. Zairil Khir Johari – 1,132 (ke-20)

13. Teresa Kok – 1,127 (ke-17)

14. Chong Eng – 1,111 (ke-12)

15. M. Kulasegaran – 1,088 (ke-15)

16. Tan Kok Wai – 1,088 (ke-6)

17. Teo Nie Ching – 1,081 (ke-18)

18. Boo Cheng Hau – 961 (ke-16)

19. Nga Kor Ming – 956 (ke-11)

20. Ngeh Koo Ham – 809 (ke-19)

Pada 17 Julai lalu, DAP menerima surat daripada JPPM mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC).

Arahan itu dikeluarkan berikutan JPPM belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

JPPM turut mengarahkan DAP menggunakan semula senarai perwakilan DAP seramai 2,576 orang pada 2012 ketika sesi pemilihan kali ini.

Pemilihan semula DAP diuruskan firma audit bebas, Grant Thornton yang bertindak sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan pemilihan firma antarabangsa itu sudah dipersetujui JPPM.