Zahid: PRU14 akan diadakan dalam masa 180 hari

ahmad-zahid-hamidi-pengundi-cina-election-malaysiaKUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu parti komponen BN bahawa beliau tahu ahli politik mana yang bekerja keras untuk parti ketika pilihan raya umum ke-14 semakin dekat.

“Jangkaan saya, pilihan raya tidak lebih 180 hari lagi sekarang. Kalau ada yang kata pilihan raya lebih daripada 180 hari, saya fikir orang itu harus berada di luar kepompong realiti,” katanya pada persidangan perwakilan Gerakan kebangsaan ke-46 di ibu pejabat Gerakan hari ini.

Presiden Gerakan Mah Siew Keong dan pimpinan parti komponen BN lain daripada Umno, MIC, MCA dan MyPPP turut hadir.

Zahid berkata tarikh sebenar pilihan raya hanya akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila jentera pilihan raya bersedia.

Zahid menambah beliau juga tahu ahli politik mana yang bekerja keras untuk parti.

“Siapa kerja kuat, siapa malas saya tahu. Siapa yang datang bila menteri turun, saya tahu. Bila menteri balik, dia pun tidur di rumah, saya tahu.

“Saya tahu siapa nak lobi jadi calon, walaupun dia pun malas. Wakil rakyat yang dulu tak rajin, sekarang mula rajin, saya tahu.”