Peter Bellew perlu bayar pampasan 4 bulan gaji kepada MAS

Johari-Abdul-Ghani-Peter-Bellew-bayar-pampasan-masKUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAB), Peter Bellew perlu membayar pampasan bersamaan 4 bulan gaji kepada syarikat penerbangan itu, berikutan kegagalan beliau mematuhi syarat notis peletakan jawatan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Bellew gagal mematuhi syarat serahan notis bertempoh 6 bulan mengikut perjanjian pelantikan, sebaliknya bekas peneraju MAB itu menyerahkan notis 2 bulan bagi peletakan jawatan CEO baru-baru ini.

“Notis kontrak MAS untuk CEO ini adalah 3 tahun dan dalam kontrak tersebut, kedua-dua pihak boleh memberikan notis 6 bulan kepada satu sama lain.

“Dalam kes CEO MAS (Bellew), beliau meletakkan jawatan dan memberikan notis kurang 4 bulan (berbanding notis bertempoh 6 bulan sebelum meletakkan jawatan). Jadi, kita terima (notis tersebut) dan beliau (Bellew) perlu bayar (pampasan) kepada kita (bersamaan) 4 bulan (gaji),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Johari tidak menjelaskan jumlah pampasan yang perlu dibayar Bellew kepada MAS.

Bellew menyerahkan notis peletakan jawatan sebagai CEO MAS pada Oktober lepas dan Kapten Izham Ismail yang merupakan ketua pegawai operasi MAB akan menggantikan beliau berkuat kuasa 1 Disember 2017.