Kami anjur perarakan bukan untuk lawan pemerintah, kata anak muda

Amir-Abd-Hadi-apiPETALING JAYA: Sekumpulan anak muda yang menggelar diri Malaysia Muda bercadang mengadakan satu perarakan bulan depan bagi memperingati ulang tahun penubuhan sebuah parti politik dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (Api) yang berjuang menentang penjajah sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Jurucakap Malaysia Muda, Amir Abd Hadi berkata, perarakan mengimbau sejarah itu tidak menjurus kepada mana-mana parti politik atau menentang pemerintah, sebaliknya ia bertujuan menaikkan semangat anak muda.

“Ini bukan demonstrasi, tapi sekadar pementasan semula yang akan membuka perbincangan baharu,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Api ditubuhkan Ahmad Boestamam, Abdul Rahman Rahim dan Bakar Thareek pada 17 Februari 1946 di Ipoh, Perak.

Ia pada asalnya ialah parti politik berhaluan kiri yang merupakan sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), sebelum menjadi parti pertama yang diharamkan penjajah British pada 17 Julai 1947 atas alasan mencetuskan kekacauan, menganjurkan aktiviti dan asas perjuangan membahayakan.

Amir berkata, anak muda hari ini lebih mementingkan survival kehidupan sehingga mereka “lemau” dalam memberi idea kepada kumpulan itu untuk melakukan “pementasan” semula semangat perjuangan generasi muda terdahulu dalam menentang penjajah.

“Dulu Api lawan penjajah, tapi sekarang kita mengajak mereka untuk lawan diri sendiri. Anak muda hari ini seperti hilang punca.

“Tapi kita pun tak boleh salahkan anak muda itu sendiri, mereka berdepan masalah ekonomi dan mungkin pentadbiran yang kurang cekap.

“Kita mahu memupuk anak muda sayangi orang di sekeliling mereka dan juga tanah air.”

Beliau berkata, Malaysia Muda akan menganjurkan beberapa siri perbincangan dan dialog sebelum perarakan bagi memperingati ulang tahun penubuhan Api ke-71 itu diadakan di ibu negara, pada 23 Disember nanti.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan penganjuran perarakan itu mematuhi undang-undang.

“Kita anggarkan tidak ramai yang akan sertai, sasaran kita mungkin hanya 100 hingga 200 orang sahaja.”

Katanya, kumpulan itu akan memakai seragam serba putih dengan kain merah diikat di lengan ketika perarakan itu, sama seperti Api dahulu.

Lokasi perarakan akan dimaklumkan kemudian.