Ahli Umno: Rumah agam Ramlee hasil duit perniagaan

Exco Pemuda Umno Semporna Norsadin Samshuddin
Exco Pemuda Umno Semporna Norsadin Samshuddin

KOTA KINABALU: Seorang ahli Umno berkata walaupun rumah agam pinggir laut di Kampung Kuala Dua, Putatan milik Pembantu Menteri Kewangan Datuk Ramlee Marhaban, ia dibina lama sebelum beliau menjadi Adun Bugaya.

Menjawab laporan yang disiarkan di akhbar cetak dan elektronik, Exco Pemuda Umno Semporna Norsadin Samshuddin berkata Ramlee seorang ahli perniagaan yang berjaya di Sabah sebelum dipilih rakyat menjadi Adun Bugaya pada 2008.

“Pada awal 90-an, beliau secara separuh masa terlibat mengururskan kerja kontrak menjaga 10,000 ekar ladang Felda di Felda Sahabat 8 dan 24.

“Syarikat SAM Enterprise dan Pemborong SARA, yang diurusukan beliau, diberi kontrak menuai dan membawa tandan buah kepala sawit segar (FFB) di Felda Sahabat 8 dan 24,” katanya.

Warga Semporna itu menambah Ramlee meletakkan jawatan di Jabatan Buruh Tawau dan menjadi kontraktor sepenuh masa pada 1995 apabila perniagaan beliau semakin berjaya.

Pada tahun yang sama, salah sebuah syarikatnya, Pemborong SARA, dinaik taraf ke kontraktor pembinaan dan sivil kelas D, dan perniagaan beliau juga berkembang kepada kontrak perkhidmatan dan pembekalan.

Pada masa yang sama, Pemborong SARA menerima banyak projek daripada pelbagai agensi kerajaan.

“Selepas menyiapkan beberapa projek kerajaan, Pemborong SARA dinaik taraf oleh PKK (Pusat Khidmat Kontraktor) kepada kontraktor kelas A, dan syarikat itu diberi nama Pemborong SARA Sdn Bhd pada 1999.

“Pada 2003, syarikat itu menerima pengiktirafan anugerah Kontraktor Wibawa kerana berjaya menjalankan pelbagai projek kerajaan,” katanya.

Antara 1999 dan 2008, Pemborong SARA mengamalkan laporan audit kewangan tahunan dan secara konsisten menjelasnnya semua tanggungjawabnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Rumah agam yang menjengkelkan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebenarnya dibina menggunakan wang Ramlee hasil perniagaannya. Rumah siap dibina pada 2006.

“Apabila beliau dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional di kerusi DUN Bugaya pada 2008 dan menang kerusi itu, beliau meletakkan jawatan dari perniagaannya untuk beri tumpuan sepenuh masa kepada tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” kata Norsadin.

Oleh itu tidak benar rumah itu dibina dengan cara haram seperti yang didakwa Warisan, kata Norsadin.

Pada Selasa, Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman mendedahkan Ramlee bukan sahaja memiliki rumah agam itu, tetapi juga lebih sedozen kereta mewah, termasuk 2 Lamborghini dan sebuah Ferrari yang diletakkan dalam kawasan rumah.

Azis bingung bagaimana Ramlee boleh mengumpul kekayaan sebegitu rupa dalam tempoh kurang 10 tahun menjadi ahli politik.

Azis menambah berbanding kediaman Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal, kediaman Ramlee adalah sebuah rumah agam yang lengkap dengan kolam renang dan gelanggang badminton. Rumah Shafie pula sekarang rumah biasa di Taman Golf View.

“Datuk Ramlee selalu bilang, tuduh Shafee macam-macam, kononnya dia tidak banyak menyumbang. Saya setuju. Dia tidak banyak menyumbang untuk diri sendiri. Dia boleh buat banyak sebenarnya, lepas tu dia boleh ada rumah besar macam si Ramlee,” kata Azis.