Cincin berlian dan gila ‘shopping’: Temui wanita pertama Zimbabwe

grace-mugabePETALING JAYA: Grace Mugabe, isteri bekas presiden Zimbabwe, Robert Mugabe yang digulingkan tentera negara itu semalam, merupakan watak yang sering dikaitkan dengan minatnya terhadap barangan berjenama mewah.

Di Zimbabwe, wanita pertama itu kerap digelar dengan ejekan seperti “The First Shopper” dan “Gucci Grace”.

Beberapa bulan lepas, The Guardian melaporkan Grace, yang sangat berminat dengan kasut tumit berjenama Ferragamo, menghabiskan £75,000 (RM412 juta) hanya dalam sehari untuk membeli-belah di Paris.

Awal tahun ini, The Huffington Post edisi Afrika Selatan melaporkan Grace mengheret seorang ahli perniagaan Lubnan kerana gagal memenuhi tempahan cincin berlian berharga AS$1.35 juta (RM5.6 juta).

Menurut Grace, beliau sudah membuat bayaran pendahuluan pada 2015 untuk sebutir cincin berlian “sekurang-kurangnya 100 karat” sempena ulang tahun perkahwinannya. Bagaimanapun, Grace berkata apa yang diterimanya ialah cincin bernilai sekitar AS$30,000.

Anak-anak Mugabe juga tidak kurang hebat dengan cara hidup mewah, menurut The Guardian daam laporan Ogos lalu.

Kontroversi mengenai Grace bukan sekadar minatnya dengan kemewahan. Grace juga terlibat dalam beberapa pergaduhan, termasuk dengan jurukamera Britain, Richard Jones.

Pada 2009, Jones cuba mengambil gambarnya di luar sebuah hotel di Hong Kong. Selepas dikejar dan ditahan pengawal peribadi Grace, Jones mendakwa wanita pertama itu menumbuk mukanya.

Insiden serupa juga dikatakan berlaku di Afrika Selatan, Singapura dan Malaysia, di mana keluarga Mugabe dipercayai memiliki beberapa hartanah.

Ogos lalu, beliau dituduh menyerang seorang model di Afrika Selatan menggunakan sebuah plag, tetapi terlepas disebabkan imuniti diplomatik.

Dilamar Mugabe

Mugabe melamar Grace ketika isteri pertamanya, Sally, masih terlantar sakit dan meniti hari-hari terakhirnya selepas didiagnos dengan barah.

Ketika itu, Grace ialah jurutaip di sebuah pejabat kerajaan. Mugabe pernah secara terbuka mengaku mereka berdua mengadakan hubungan seks ketika isteri pertamanya terlantar sakit.

“Saya perlukan seseorang dan walaupun Sally meniti hari-hari terakhirnya, saya meniduri Grace. Ia mungkin nampak kejam kepada sebahagian orang. Dia pada masa itu orang paling rapat dengan saya dan dia juga seorang janda,” Mugabe memberitahu wartawan Afrika Selatan, Dali Tambo dalam wawancara pada 2013.

Sally meninggal dunia pada 1992. Grace dan Mugabe, dengan jurang 40 tahun antara mereka, berkahwin pada 1996 dalam majlis serba mewah dihadiri lebih 40,000 tetamu termasuk Nelson Mandela, presiden Afrika Selatan ketika itu.

Mugabe pernah dikecam antarabangsa selepas melancarkan dasar merampas ladang dan tanah pertanian milik penduduk kulit putih, dengan alasan untuk memulangkan kepada rakyat tempatan.

Tetapi, Grace merupakan antara orang yang mendapat habuan daripada dasar tersebut. Beliau menjalankan beberapa aktiviti perlombongan, di samping 5 ladang yang pernah dimiliki penduduk kulit putih yang diusir.

Pengaruh Grace dikatakan semakin menular dalam lapangan politik. Pada 2014, beliau dilantik memimpin sayap wanita parti pemerintah, Kesatuan Kebangsaan Afrika Zimbabwe – Barisan Patriot (ZANU-PF). Grace sendiri tidak merahsiakan cita-citanya.

“Mengapa tidak? Saya pun rakyat Zimbabwe,” katanya ketika ditanya sama ada beliau mahu menjadi presiden.

Di saat Mugabe semakin tua dan lemah, Grace mengambil peluang daripada hubungan rapat dengan suaminya. Mesyuarat bersama ahli perniagaan diadakan di rumah mewah pasangan itu di sebuah kawasan kejiranan elit di Harare. Rumah itu mempunyai 2 tasik, dan dihiasi perabot Louis XIV.

Tetamu yang berkunjung untuk berbincang dengan Mugabe selalunya melihat Grace di sampingnya.

“Beliau umpama perdana menteri tidak rasmi negara ini,” kata sumber rapat dengan keluarga Mugabe kepada akhbar The Guardian.