Gaji penjawat awam tidak akan dibayar 2 kali sebulan

Zainal-Rahim-penjawat-awamPUTRAJAYA: Kerajaan tetap meneruskan amalan pembayaran gaji sebulan sekali kepada penjawat awam seperti dilaksanakan sekarang, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Merujuk laporan sebuah portal berita yang mendakwa pembayaran gaji 2 kali sebulan secara rintis akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, beliau menafikan perkara itu dan berkata ia tidak berlaku di Malaysia sebaliknya di sebuah negara jiran.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penjawat awam negara ini supaya tidak gusar dengan khabar angin itu.

“Jadi, untuk indahkan bahasa dan suasana, kita jangan dengar sebarang khabar angin,” katanya kepada pemberita selepas menutup sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor Awam hari ini.

Menurut laporan portal tersebut, langkah itu diambil bagi membantu penjawat awam menguruskan perbelanjaan harian individu dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan bahan api yang semakin meningkat.

Sementara itu, Zainal Rahim berkata pihaknya bercadang menyemak semula Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 mengenai Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam dengan menambah elemen pengauditan dan penguatkuasaan terhadap isi kandungan pekeliling tersebut.

Beliau berkata pekeliling itu, yang belum pernah ditambah baik, hanya memperihal mengenai kaedah dan mekanisme penggunaan bahasa kebangsaan tanpa memasukkan perkara berkaitan pengauditan dan penguatkuasaan.

“Kita dapati penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat, terutamanya oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masih perlu diberi perhatian. Atas faktor itu semakan dan pindaan terhadap pekeliling tersebut boleh dijadikan panduan oleh semua agensi dan jabatan kerajaan dalam memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya.

Pada majlis tersebut, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mua’amar Ghadafi Jamal dipilih sebagai penerima anugerah Ikon Pejuang Bahasa 2017.