Guru tadika dipercayai tampar kanak-kanak didakwa

tampar-guru-tadika-budak-lelaki-malaysiaKAJANG: Seorang guru tadika berusia 18 tahun didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencederakan muridnya, seorang kanak-kanak lelaki 4 tahun yang dilaporkan mengalami kecederaan di telinga dan lebam kedua-dua pipi pada Oktober lepas.

R Nishalini yang merupakan orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Nishalini didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Looi Qee Shine, 4, menggunakan tangan di sebuah tadika di Taman Damai Indah pada 4.30 petang, 31 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi menawarkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun Nishalini yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia kini tidak bekerja.

Nor Afidah membenarkan Nishalini diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan, lantikan peguam dan serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia 4 tahun cedera di telinga selepas dipercayai ditampar gurunya kerana dia tidak mahu menulis. Pemeriksaan awal doktor terhadap kanak-kanak itu yang dibawa ibunya ke Hospital Kajang mendapati kesan kecederaan pada tisu di kedua-dua belah pipi dan telinga mangsa.