Harga tomato dijangka cecah 1kg RM4, tenggiri RM10

fish-vegeKUALA LUMPUR: Harga ikan dan sayur dijangka naik akibat musim tengkujuh.

Harga makanan laut dijangka meningkat kerana hasil tangkapan mungkin berkurangan disebabkan musim hujan apabila nelayan terpaksa berada lebih dekat dengan pesisir pantai disebabkan angin kencang.

Akhbar The Straits Times melaporkan harga sayur akan mengalami kenaikan kerana pengeluarannya dijangka berkurangan pada musim hujan.

Laporan tersebut memetik Jeanne Khor, setiausaha Persatuan Nelayan Pantai Remis yang mempunyai 300 ahli sebagai berkata, musim hujan boleh menjejaskan hasil tangkapan nelayan sebanyak 50% hingga 60%.

Beliau berkata, harga ikan tenggiri boleh meningkat antara RM5 dan RM10 1kg, dan sardin daripada RM4 hingga RM7 1kg.

Wakil Koperasi Nelayan Kuala Sepetang, Bee Liang Chai dipetik berkata, hujan lebat bermula sejak 2 bulan lalu.

“Walaupun sekarang kurang hujan, hasil tangkapan sudah berkurangan berbanding tahun sebelumnya.”

Presiden Persatuan Nelayan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz pula berkata, orang tengah yang patut dipersalahkan atas kenaikan harga ikan secara mendadak pada musim tengkujuh.

Laporan itu memetik Pengerusi Persatuan Petani Melayu Cameron Highlands, Syed Abdul Rahman Syed Abdul Rashid yang menjangka pengeluaran sayur merosot 20% hingga 25% pada musim hujan.

Tambahan, hujan boleh menyebabkan sayur dijangkiti bakteria atau pertumbuhan kulat.

Katanya, harga 1kg tomato dijangka naik daripada RM3 kepada RM4, sementara kobis akan meningkat RM1.20 kepada RM2 setiap kg.

Bagaimanapun, laporan itu berkata, harga ikan dan sayur di Singapura mungkin tidak terjejas akibat musim tengkujuh.

“Permintaan pasaran (untuk ikan) di Singapura tidak begitu tinggi, jadi biasanya harga tidak akan terjejas,” kata jurucakap Persatuan Pedagang Ikan Singapura.

Pengerusi Persatuan Pengimport dan Pengeksport Buah dan Sayur Singapura, Tay Khiam Back berkata, harga mungkin tidak akan terjejas buat sekarang kerana tiada perubahan berlaku dalam jumlah bekalan.

Hujan lebat yang melanda Malaysia dari November hingga Januari kerap menyebabkan banjir di negeri timur dan utara Semenanjung Malaysia. Ia biasanya disertai angin kencang di laut.

Beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Kedah baru-baru ini dilanda banjir, menyebabkan kematian dan kerosakan jutaan ringgit.