Husni akan dipanggil Jawi berhubung aduan qazaf Anwar liwat anak buah

hanipa-maidinKUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkemungkinan dipanggil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung siasatan qazaf, kata Mohamed Hanipa Maidin.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata, beliau dimaklumkan pegawai penyiasat selepas kenyataannya dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah diambil pagi tadi di Jawi.

“Kedua-dua kami dipanggil Jawi untuk diambil keterangan berhubung aduan ucapan Tambun (Husni) di Dewan Rakyat yang anak buahnya diliwat Anwar Ibrahim.

“Saya sendiri sudah berikan hansard ucapan dan rakaman video Husni dari Dewan Rakyat. Saya diberitahu mungkin minggu hadapan dia (Husni) akan dipanggil untuk diambil keterangan.

“Bahkan sekiranya perlu, Jawi berkemungkinan akan turut mengambil keterangan dari anak buahnya, seperti mana yang disebutkan Husni di dalam Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Hanipa dan Raja Kamarul dipanggil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Jawi pada 10.00 pagi tadi dan keterangan diambil 2 pegawai penyiasat yang menyiasat secara berasingan.

Husni sewaktu berbahas di Dewan Rakyat 1 November lalu mendakwa Anwar “terlibat” dengan anak buahnya ketika mengkritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Anda kenal siapa Dr Mahathir? Saya tahu. Saya Menteri Kewangan II. Saya tahu apa yang berlaku masa beli Pos Malaysia, di Perwaja. Saya tahu. Anda tahu siapa Muhyiddin. Anda tidak tahu, tetapi saya tahu. Anda tahu siapa Anwar Ibrahim? Saya orang Anwar Ibrahim, saya tinggalkan dia.

“Selepas dia berhenti jadi Timbalan Perdana Menteri, saya bantu dia, pergi ke Bukit Damansara. Bila dia terlibat dengan liwat. Dia terlibat dengan anak buah saya. Kami semua menangis, saya pergi ke Jordan,” kata Husni.

Susulan dari itu, Hanipa membuat laporan terhadap Husni dan ia diterima Jawi dan diletakkan bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

PH akan bertemu speaker Dewan Rakyat

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR) Datuk Johari Abdul berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung imuniti ahli Parlimen.

“Kita akan adakan pertemuan dengan speaker, hendak lihat apa yang dikatakan Husni itu mendapat perlindungan sebagai Ahli Parlimen atau tidak,” katanya.

Secara amnya, Ahli Parlimen menikmati imuniti daripada prosiding sivil dan jenayah terhadap perkara yang dibahaskan dan yang dibuat di dalam sesi Parlimen.

Johari juga berkata, beliau bersama Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan lain juga akan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bertemu dengan naib cancelor universiti itu.

Beliau difahamkan oleh pihak tertentu, anak buah yang disebutkan Husni itu mempunyai kaitan dengan universiti berkenaan namun tidak jelas adakah ia seorang penuntut atau pensyarah di UKM.

“Kita hendak bertanya kepada naib cancelor UKM, adakah individu ini sebenarnya memang wujud atau ia hanya direka-reka. Kita tidak tahu sehingga kini kewujudan dia (anak buah Husni).

“Dia (Husni) mengelak dari membuat laporan polis, bahkan enggan mendedahkan bila dan di mana ia (perbuatan liwat) berlaku. Jadi kita akan ke UKM untuk bertanya mengenai individu ini,” katanya.