TKM Sarawak: Sesiapa pun boleh terjemah Bible, kecuali Mais

James-Masing-bible-mais-malaysiaPETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Masing tiada masalah jika Bible diterjemah ke mana-mana bahasa di Malaysia, kecuali jika ia dilakukan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Ini kereana Mais tidak akan dapat menangkap dan memahami nuansa agama Kristian.

“Bible boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu atau Ciina. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh terbitkan terjemahan itu.

“Cuma saya tidak setuju Mais jadi penterjemah Bible,” katanya.

Masing turut mempersoalkan ketakutan sekitar penggunaan kalimah “Allah” oleh Kristian.

Beliau berkata kepercayaan orang Islam tidak mudah tergugat, terutamanya dengan penggunaan nama “Allah”.

“Kalimah ‘Allah’ ada sebelum Islam. Ada pemimpin politik di Sarawak yang mengkaji Bible, tetapi tidak pun menyebabkan mereka kurang Islam.

“Jadi mengapa kita takut sangat kononnya membiarkan penggunaan kalimah itu oleh orang Kristian akan menggugat kepercayaan orang Islam?

“Bukankah lebih baik orang Kristian menggunakan perkataan ‘Allah’? Dengan itu kita semua menyembah Tuhan yang sama.”

Masing berkata rakyat Malaysia masih bersatu kerana mereka menerima kepercayaan dan agama lain.

“Kita tidak boleh bersatu kalau kita takuti agama lain. Tetapi ada sesetengah pihak takut pada bayang-bayang sendiri.”

Sementara itu, Presiden Majlis Gereja-gereja Sabah Bishop Melter Jiki Tais berkata cadangan Mais mencadangkan DBP menyediakan terjemahan Bible rasmi bahasa Melayu menghina orang Kristian di Sabah.

“Kami sangat tersinggung dengan kenyataan peguam Mais, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, dan mahu beliau memohon maaf,” katanya.

Haniff dilaporkan membuat cadangan itu di mahkamah pada Rabu, mengatakan DBP boleh membetulkan kesalahan yang didakwa dilakukan orang Krisian apabila menggunakan kalimah “Allah” sebagai merujuk kepada Tuhan.

Beliau mendakwa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak tersalah menggunakan kalimah “Allah” sebagai merujuk kepada “God” dalam bahasa Malaysia, dan berkata mereka sepatutnya menggunakan “Tuhan”, yang tidak akan mengurangkan hak mereka.

Haniff membuat cadangan itu kepada mahkamah di pendengaran tuntutan oleh seorang Bumiputera penutur bahasa Melayu dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, terhadap menteri dalam negeri dan kerajaan supaya menegakkan hak perlembagaan beliau yang menurutnya dilanggar oleh larangan penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan Kristian.

“Haniff harus tahu cadangannya itu mencerminkan kejahilan mengenai teologi, dan tafsiran bahasa asal Bible yang betul dan baik.

“Haniff harus tahu kita masyarakat Kristian di Sabah sama sekali tidak akan menerima Bible bahasa Malaysia yang disediakan DBP,” kata Melter.

Majoriti penutur bahasa Melayu beragama Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah “Allah” sebagai merujuk kepada Tuhan dalam upacara dan penerbitan sebelum kedua-dua negeri menyertai pembentukan Malaysia pada 1963.

Melter berkata majlis berpendirian tiada pihak boleh tentukan bahasa yang boleh digunakan orang Kristian dalam menyatakan kepercayaan mereka.

“Kita akan terus menggunakan kaliimah ‘Allah’ sebagai merujuk kepada Tuhan secara lisan atau bertulis hingga akhir zaman,” katanya.