Bekas pesalah seks Selva Kumar kini berpindah ke UK

Selva-Kumar_uk_600

PETALING JAYA: Selva Kumar Subbiah, yang pulang ke Malaysia selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada awal tahun ini atas pelbagai jenayah termasuk serangan seks, kini memulakan kehidupan baharu di United Kingdom, menurut sumber yang rapat dengan keluarganya.

FMT difahamkan lelaki yang menjadi perbincangan hangat di Kanada ketika dibebaskan Februari lalu, kini berada di London untuk tinggal bersama saudaranya.

Selva dikatakan mahu membina kehidupan baharu dan bekerja di sana.

Sebelum ini, media Kanada dan pelbagai pihak di negara itu memberi amaran Selva belum insaf dengan jenayah lampaunya.

Beberapa pegawai polis di negara itu yang pernah menyiasat beliau juga percaya Selva turut memangsakan lebih 1,000 wanita di Kanada, tuduhan yang ditolak keluarganya di Malaysia sebagai tidak masuk akal.

Selva, bekas murid Penang Free School di Pulau Pinang, merantau ke Kanada untuk melanjutkan pelajaran.

Bagaimanapun, beliau terjebak dengan pelbagai kes serangan seks dan dadah, sehingga dilabel sebagai perogol bersiri paling merbahaya di Kanada.

Pada 1992, mahkamah di Kanada menjatuhkan hukuman 24 tahun ke atas Selva atas 19 tuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah, dan 10 pertuduhan pelbagai serangan dan kesalahan lain.

Jun lalu, 4 bulan selepas kepulangannya yang diselubungi rahsia disebabkan usaha keluarganya mengelak publisiti, FMT melaporkan Selva sudah menganuti agama Kristian dan berusaha berubah.

Ketika mesyuarat pegawai penjara yang memutuskan beliau perlu pulang ke Malaysia selepas dibebaskan, Selva dilaporkan mengakui sudah memeluk agama Yahudi. Bagaimanapun, ia dipercayai antara alasan diberikan dalam usahanya mengelak daripada dihantar pulang ke Malaysia.

Kepulangannya pada 7 Februari lalu menerima pelbagai reaksi, termasuk seruan supaya dia ditahan dan dipantau polis. Bagaimanapun, polis berkata Selva sudah menjalankan hukumannnya dan oleh itu pihak berkuasa tidak berhak menyekatnya.

Ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata walaupun tidak ada undang-undang khusus mengawal pergerakan bekas banduan seperti Selva supaya tidak menjadi ancaman awam, polis akan memantaunya “dari jauh” berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.