Kes Raymond Koh: Jais tak dedah identiti pengadu kepada polis kerana ‘rahsia’

pastor-raymond-koh-jaisKUALA LUMPUR: Pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini dipanggil untuk memberi keterangan di siasatan awam kehilangan Pastor Raymond Koh dan disoal tentang serbuan ke atas majlis makan malan anjuran pastor itu di Gereja Methodist Damansara Utama 3 Ogos 2011.

Terdahulu pada 20 Oktober lepas, saksi ke-3 inkuiri, Pengarah Harapan Community, Sri Ram KS Gopala Iyer berkata Koh pernah mengadu menerima diganggu panggilan dan diekori individu tidak dikenali pada tahun serbuan berlaku hingga 2012.

Menurut laporan media, Jais dan polis menyerbu acara makan malam yang dianjurkan Koh di gereja itu selepas menerima aduan mengenai kehadiran orang Melayu di acara itu. Menurut laporan mStar, ketika serbuan dilakukan kelihatan seseorang sedang berucap diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan cubaan memurtadkan umat Islam.

Koh diculik pada 13 Februari lalu, dan terdapat spekulasi penculikan Koh mungkin berkait rapat dengan dakwaan pastor itu cuba menyebar ajaran Kristian tetapi dakwaan itu dibantah keluarganya.

Pegawai Jais tersebut, Zaaba Zakaria ketika menjawab peguam keluarga Koh, Steven Thiru, berkata beliau tidak mendedahkan identiti pengadu kepada polis kerana “rahsia”.

Beliau menambah polis, yang sedang menyiasat kehilangan Koh, perlu mendapatkan kerjasama pegawai atasannya untuk mengetahui identiti pengadu itu.

“Kita nak menjaga pengadu punya maklumat dari segi keselamatan,” kata Zaaba, dan menambah dia tidak arif peruntukan undang-undang mengenai merahsiakan identiti pengadu daripada polis.

Zaaba juga memberitahu beliau tidak menunjukkan dokumen aduan kepada polis sebelum serbuan 3 Ogos 2011 itu.

Dalam siasatan ke atas kehilangan Koh, Sri Ram ketika ditanya penyiasat siapakah yang beliau rasakan terlibat menjawab: “Polis yang menculik dia”.

Pemerhati polis yang menyaksikan inkuiri itu membantah tuduhan itu tetapi permintaan menarik balik tuduhan itu ditolak panel siasatan.

Koh diculik di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya ketika beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah berhampiran menunjukkan 3 kenderaan menyekat kereta Koh dan 8 individu bertopeng melarikan beliau serta kenderaannya dari tempat kejadian.

Sehingga kini, tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu.