Pengawal keselamatan tidak mengaku bersalah sokong IS

pengawalKUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas 2 pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh, awal tahun ini.

Zefrul Hashim, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah.

Tertuduh didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dan Abu Sayyaf dengan cara menggalakkan atau mendorong seorang individu dikenali dengan nama ”Zahra Alisya” melalui perbualan dalam aplikasi laman sosial Facebook Messenger di mana tertuduh menggunakan akaun bernama ”Abu Qaqa”.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat Perpaduan 22, Taman Perpaduan, Ulu Kinta, Perak antara 18 Februari dan 9 Mac 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan dihukum bawah subseksyen 130J(1) kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 30 tahun atau denda dan mana-mana harta yang digunakan dalam tersebut boleh dirampas.

Mengikut pertuduhan kedua, Zefrul didakwa memiliki 109 keping gambar dan 116 buah video di dalam telefon bimbit miliknya, di mana kesemua item itu berkaitan perlakuan dan perbuatan pengganas IS pada jam 3.50 petang, 6 Mac lalu di tempat sama.

Pertuduhan mengikut 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Subseksyen 130JB(1) kanun sama, membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan item boleh dilucut hak jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norfaida Mohd Rashidee tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes.