PSM cabar bank buktikan kontrak tidak tindas pembeli

Sivarajan_psm_abm_600

PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencabar Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) membuktikan surat penyerahhakan dan surat kuasa wakil yang menjadi prasyarat untuk bakal pembeli pangsapuri tidak memberi kuasa kepada bank untuk merampas hartanah tanpa notis awal.

PSM membuat cabaran itu selepas ABM menjelaskan yang ianya amalan biasa untuk bank memperoleh kuasa wakil untuk hartanah tanpa surat ikatan hak milik, kerana ianya langkah berjaga-jaga dan bank masih akan menyediakan notis secukupnya kepada peminjam yang terkesan.

Bercakap kepada FMT, Setiausaha Agung PSM A Sivarajan berkata hakikat yang ianya satu “amalan biasa” dan bukanlah syarat ditetapkan undang-undang adalah apa yang cuba diperkatakan oleh parti itu.

“Pembeli rumah tidak mampu mencabar perkara ini kerana perjanjian itu, terutamanya surat penyerahhakan, jelas menyatakan bank boleh memulakan prosedur rampasan harta tanpa notis.

“Jadi, pemberian notis oleh bank hanyalah lebih kepada tindakan atas budi bicara,” katanya.

Katanya, memandangkan pemberian notis tidak ditetapkan oleh undang-undang, bank tidak perlu pun memastikan notis itu diberikan dengan cara baik.

“Sesetengah bank mengatakan bukti bayaran pos pun sudah cukup baik.”

Sivarajan juga berkata, ABM telah berkata ianya satu syarat untuk bank mencuba menghubungi pembeli dan menawarkan rancangan alternatif.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara ini bergantung kepada bank itu sendiri.

Tanpa autoriti yang menyelia, penindasan masih boleh berlaku.

“Hujah utama kami adalah semua pengesyoran dan syarat tidak mandatori kerana tidak diwajibkan oleh kontrak yang ditandatangani antara pembeli dan pembiaya menerusi surat penyerahhakan dan surat kuasa wakil.

“Kami mencadangkan susunan kata dalam surat-surat seperti ‘surat penyerahhakan mutlak’ harus disemak semula kerana surat-surat mengikat secara undang-undang dan dalam format semasa yang menafikan hak pembeli.

“Kami meminta Bank Negara menyemak semula hal ini dan memastikan bank memasukkan fasal yang melindungi pembeli dalam 2 perjanjian keselamatan ini. Buat masa ini, pada pendapat kami, peruntukan ini berat sebelah.”

ABM menafikan bahasa undang-undang digunakan dalam 2 perjanjian itu kompleks, sambil menambah yang sebarang istilah undang-undang akan dijelaskan kepada pelanggan.

Sivarajan bagaimanapun tidak bersetuju.

“Sesiapa yang rumahnya pernah dibiaya oleh bank dan melalui proses menandatangan dokumen ini boleh beritahu yang bahasa yang digunakan dalam 2 perjanjian itu tidak mudah difahami orang biasa, apatah lagi untuk mereka daripada kumpulan 40% terendah (B40).

“Atas isu ini, kami bersetuju dengan ABM yang istilah undang-undang dan teknikal patut dielakkan dan sepatutnya ditulis dalam bahasa mudah. Kami menasihati ABM untuk mengambil langkah proaktif untuk menasihati ahli mereka atas isu ini.”