Majlis belia, persatuan sukan puji Bajet Sabah 2018

Nourman-Ryan-Awang-Zaini_sabah_600

PETALING JAYA: Majlis Belia Sabah memuji Bajet Sabah 2018 yang dibentangkan ketua menteri semalam dengan memperuntukkan RM76.9 juta untuk menyokong aspirasi belia serta pembangunan sukan di negeri itu.

Presidennya, Nourman Ryan Awang Zaini mengucapkan terima kasih kepada sokongan berterusan kerajaan negeri yang membolehkan program pembangunan belia berjaya dilaksanakan.

“Program ini dijalankan di peringkat akar umbi, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa serta melahirkan belia Sabah yang berkeyakinan, berkemahiran dan inovatif dalam menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Majlis Belia Sabah akan menjalankan beberapa program termasuk kesukarelaan, komuniti, pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan program lain untuk memperkasakan golongan itu sejajar Indeks Belia Sabah yang dilancarkan Tan Sri Musa Aman pada 2015.

Beliau yakin pengurusan kewangan cemerlang kerajaan negeri akan menambah nilai kepada program pembangunan belia untuk membawa golongan itu ke peringkat lebih tinggi.

Menerusi Bajet Sabah 2018, selain RM76.9 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan belia dan sukan, Musa turut mencadangkan RM5 juta bagi Skim Keusahawanan Belia Sabah dan Kecemerlangan Belia menerusi Skim Sukan Sabah di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Tambahan, beliau juga memperuntukkan RM91.4 juta untuk menyokong pembangunan wanita, belia dan sukan di bawah peruntukan khas.

Tahun ini, kerajaan negeri memberi RM15.35 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk membangunkan belia dan melahirkan atlet bertaraf dunia di kalangan 798,400 pemuda tempatan dalam 764 organisasi belia dan 64 persatuan sukan di negeri itu.

Majlis Belia Sabah mendapat peruntukan sebanyak RM2.459 juta untuk menjalankan program pembangunan belianya.

Sementara itu, Persatuan Olahraga Sabah turut mengucapkan terima kasih kepada Musa atas pemberian Skim Insentif Kemenangan kepada atlet negeri yang menyumbang pingat dalam temasya Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Presidennya, Mohamat Hassan berkata, insentif itu merupakan pembakar semangat untuk atlet mencapai kecemerlangan di peringkat lebih tinggi.

Presiden Persatuan Memanah Sabah, Datuk Zainie Abdul Aucasa berkata, usaha melahirkan juara tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya ia memerlukan usaha semua pihak dan perancangan strategik yang disokong peruntukan besar bagi melahirkan atlet bertaraf dunia.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Musa atas sokongannya dan peruntukan besar kepada sukan, khasnya Persatuan Memanah Sabah setiap tahun.

“Pemberian Insentif Kemenangan ini jelas membuktikan penghargaan dan pengiktirafan kerajaan Sabah kepada atlet kita yang sentiasa berjuang mengangkat nama negara dan negeri ke peringkat antarabangsa,” kata Presiden Persatuan Skuasy Sabah, Keng Chuan Seng.

Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Sabah, Tan Hwa Koon menyifatkan Bajet Sabah 2018 ialah bajet komprehensif yang turut menyokong dan pembangunan sukan OKU di negeri itu.