Perkasa doakan peguam Nik Elin insaf

perkasa_ibrahim

KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali mendoakan peguam, Nik Elin Nik Rashid akan insaf dan tidak lagi membuat kenyataan bertentangan akidah Islam.

Presiden Perkasa bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Nik Elin pada 10 November lalu yang menggesa semua pihak berhenti mengatakan bertudung ialah perintah Tuhan.

“Saya tidak perlu menjawab sebab tak ada kelas. Saya tak perlu jawab orang yang tidak tahu agama.

“Saya bimbang harap-harap jangan tersasul akidah. Saya kesian, saya doa dia insaf,” katanya kepada FMT pada Persidangan Khas Tahunan Sayap Perkasa ke-4 hari ini.

Minggu lalu, Nik Elin menyenaraikan pelbagai kebaikan tidak bertudung yang dinikmatinya, di samping mendakwa hukum aurat bagi wanita hanya di bahagian sulit, bukan seperti yang difahami orang ramai.

Susulan itu, Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Dr Amini Amir Abdullah pada Khamis lalu menggesa Nik Elin berhenti mengulas dan meracau dalam soal agama, jika beliau masih dangkal dan cetek dalam soal hukum.

Beliau turut menyifatkan ulasan aktivis itu mendedahkan pekung di dadanya, selain menonjolkan kejahilan dalam soal agama.

Amini berkata, menutup aurat terkandung dalam al-Quran dan wanita Islam yang menyanggahnya bermakna menderhaka kepada Allah.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim berkata, Perkasa akan meneliti kandungan manifesto setiap parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum ke-14 sebelum menyuarakan sokongan mereka.

Katanya, manifesto penting kerana ia mencerminkan hala tuju parti yang bertanding.

“Sekarang ini kita sedang memerhati. Kita sedang menunggu manisfesto parti politik yang bertanding.

“Ada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH), kita tengok banyak dasar yang diubah, pelbagai janji ditaburkan. Maka, semua ini menjadi perkiraan kita.

“Mahu tidak mahu, kita pegang prinsip asas Perlembagaan iaitu Fasal 153,” katanya.