Jamal yakin Ibrahim mampu pujuk ahli Perkasa undi BN

Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos ketika menghadiri Persidangan Agung  Tahunan ke-8 Perkasa di Stadium Titiwangsa
Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos ketika menghadiri Persidangan Agung Tahunan ke-8 Perkasa di Stadium Titiwangsa

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamal Yunos yakin Datuk Ibrahim Ali dapat memujuk ahli Perkasa mengundi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ini kerana, kata Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu, matlamat perjuangan Umno dan Perkasa selari sejak dahulu hingga sekarang, iaitu memartabatkan agama, bangsa serta negara.

“Kalau kita lihat Umno berbanding parti lain, terutamanya gabungan Pakatan Harapan berbeza sama sekali. Mereka selama ini memperjuangkan kesamarataan, tetapi Umno itu sendiri dari dahulu hingga sekarang konsisten demi bangsa dan negara.

“Saya yakin dan percaya presiden Perkasa akhirnya akan menyeru ahli Perkasa memberi undi dan sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional,” kata Jamal selepas menghadiri Perhimpunan Agung Perkasa di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.

Ibrahim ketika menyampaikan ucapan dasarnya berkata, beliau akan menasihatkan ahlinya mengundi calon parti politik pilihan mereka di saat-saat akhir PRU14.

Beliau sebelum ini mendakwa Perkasa mempunyai kuasa menentukan kemenangan sesebuah parti politik kerana mempunyai lebih 500,000 ahli.

Pada 2015, Perkasa pernah menjalin kerjasama dengan PAS berkaitan isu melibatkan kepentingan rakyat.