Pelaburan serantau ada masa depan baik, kata pakar ekonomi

Prof-Hoo-Ke-Ping

PETALING JAYA: Pakar ekonomi, Prof Hoo Ke Ping menolak spekulasi projek membina pelabuhan di Pulau Carey tidak akan berhasil kerana beliau meramalkan kerja akan diteruskan dalam beberapa tahun lagi.

Mengulas laporan akhbar mengatakan MMC Corp dan Putrajaya enggan meneruskan projek bernilai RM140 bilion itu, beliau berkata, pembangunan seperti itu dijangkakan memandangkan pengurangan aktiviti semasa di pelabuhan negara.

Tetapi, katanya, keadaan itu hanya sementara.

Beliau meramalkan industri perkapalan di Asia Tenggara akan dirangsang pertumbuhan perdagangan di rantau ini dan sikap China yang semakin ramah dengan jirannya.

“Saiz pembahagian di rantau ini akan bertambah,” katanya sambil menambah pelbagai pihak mengunjurkan Asia akan menyumbang separuh daripada keluaran dalam negara kasar dunia menjelang 2050.

Akhbar Singapura, The Straits Times (ST) baru-baru ini melaporkan kerajaan Malaysia dan MMC teragak-agak sama ada hendak melaburkan dalam projek di Pulau Carey kerana jumlah kargo di Pelabuhan Klang berkurangan.

Menurut laporan itu, kerajaan berpuas hati ketika ini dengan membenarkan perluasan Pelabuhan Westport di Klang.

Hoo menjangkakan Pelabuhan Tuas di Singapura akan menjadi tumpuan utama perdagangan di Asia Tenggara dalam beberapa tahun akan datang.

“Pun begitu, sepatutnya ada cukup bahagian untuk pelabuhan di Pulau Carey. Saya nampak ia melengkapi Pelabuhan Tuas, bukan bersaing dengannya.”

Sementara itu, Majlis Perkapalan Nasional Malaysia (MNSC) berkata, ia masuk akal untuk menangguhkan projek itu sementara waktu berdasarkan keupayaan berlebihan di pelabuhan sedia ada dalam negara, di mana banyak syarikat perkapalan beralih ke Singapura.

“Saya rasa ia akan sukar untuk pelabuhan di Pulau Carey bersaing dengan Tuas,” kata Setiausaha Agung MNSC, Datuk Nathan K Suppiah.

Tetapi, katanya, ini tidak bermakna projek itu perlu diabaikan.

“Kita perlu ingat pada satu tahap dengan pertumbuhan perdagangan dan Pelabuhan Tuas mungkin menjadi tumpuan perdagangan di rantau ini, ia pasti berdepan isu kesesakan dan terlebih muatan.”

Katanya, Pulau Carey kemudiannya akan menjadi alternatif.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan dasarnya dapat merangsang perdagangan dan kecekapan pelabuhan itu ditingkatkan.

“Jika kita meningkatkan kecekapan pelabuhan dan menjadikannya lebih menarik untuk kapal dan perniagaan, maka kita berada di landasan betul. Pelabuhan kita akan menjadi lebih mampan.”

Mei lalu, MMC berkata, kerja fizikal untuk membangunkan kawasan seluas 10,000 hektar di Pulau Carey dijangka bermula pada 2020, bercanggah laporan awal ia akan bermula menjelang akhir tahun ini.

Projek pelabuhan mega di Pulau Carey ditunda?