3 anggota polis didakwa minta, terima rasuah

Polis-rasuahJOHOR BAHRU: Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 2 pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada orang awam tahun lepas.

Tertuduh Lans Koperal Azizan Mohamad, 30, Lans Koperal Muhammad Aiman Najmi Sahran, 26, Lans Koperal Abdul Manan Abdul Satar, 33, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam didakwa bersama-sama meminta suapan wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki 33 tahun sebagai dorongan melepaskan lelaki itu dan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun ditahan atas kesalahan memiliki dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah bank Jalan Masai Jaya 1, Plentong, Johor Bahru, pada 1.00 pagi, 9 Oktober 2016.

Bagi pertuduhan ke-2 pula, mereka didakwa menerima suapan wang tunai RM2,250 daripada orang sama sebagai dorongan yang sama di Jalan Teratai 18, Taman Johor Jaya, Johor Bahru, pada 4.50 pagi, tarikh sama.

Berikutan itu, pendakwaan terhadap mereka dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, ketiga-tiganya boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM30,000 untuk setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan, namun dibantah oleh peguam mewakili tertuduh.

Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili Azizan memberitahu mahkamah, anak guamnya telah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 11 tahun dan masih bertugas sebagai penjawat awam.

Rosli berkata Azizan mempunyai seorang isteri dan 2 anak masih kecil selain perlu menanggung kedua ibu bapanya di Tumpat, Kelantan.

Bagi 2 lagi tertuduh, peguam mereka Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly berkata mereka masing-masing hanya berpendapatan RM2,800 sebulan dan mempunyai seorang isteri dan seorang anak.

Namun, selepas ditangkap SPRM, Muhammad Aiman Najmi digantung tugas dan sejak itu hanya bekerja sambilan manakala isterinya baru bersalin anak pertama.

Penggantungan kerja itu juga melibatkan Abdul Manan.

Mahkamah kemudian menetapkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan, perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap minggu pertama sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Januari 2018.