Pasukan keselamatan Sabah lancar pemeriksaan darat, laut sekat militan

Musa-Aman_escom_sabah_600

KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (EssCom) akan mengadakan tempat pemeriksaan di laut dan di darat bagi mengukuhkan usaha melawan ancaman militan di pantai timur negeri itu yang berkongsi sempadan laut dengan selatan Filipina yang diganggu pemberontakan.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata tumpuan tempat pemeriksaan laut itu adalah menyekat penyeludupan senjata api dan unsur jenayah rentas sempadan ke negerinya.

“EssCom sedang dalam peringkat mengkelaskan ‘designated route’ yang melibatkan agensi-agensi laut untuk dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tujuan pewartaan,” katanya menjawab soalan di Dewan Undangan Negeri hari ini.

“EssCom juga sedang merancang untuk melaksanakan tempat pemeriksaan di jalan raya (RCP) bertujuan untuk menghalang kemasukan elemen yang berupaya mengancam dan menganggu gugat keselamatan, pada masa yang sama berperanan dalam mengesan dan menangkap pendatang tanpa izin yang terlibat dengan elemen militan.”

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri itu berkata pihak berkuasa sedang menjalankan rondaan terlaras di laut dan udara bersama rakan sejawat dari Filipina dan Indonesia bawah pakatan tiga pihak.

Wilfred Bumburing (PCS-Tamparuli) bertanyakan mengenai pelampau dari Sabah yang pergi ke selatan Filipina untuk menyertai pemberontakan di sana.

Musa berkata EssCom sentiasa memantau keadaan keselamatan di darat dan di laut.

“Tidak ada sebarang insiden penculikan berlaku sejak awal 2017 dan peningkatan ini adalah hasil daripada kesiap-siagaan dan langkah berkesan yang diambil oleh EssCom,” katanya.

Dua rakyat Sabah pro-IS, Mohd Amin Baco dan Jeknal Adil, dilaporkan terbunuh dalam pertempurangan dengan tentera kerajaan di bandar Marawi, selatan Filipina, tetapi jasad mereka belum ditemui.

Amin pernah menganggotai kumpulan pelampau Darul Islam Sabah yang diharamkan.

Beliau dan Jeknal dikenalpasti dalam laporan sebagai pembuat bom untuk militan.

Amin dan Jeknal meninggalkan Malaysia pada 2010 untuk menyertai kumpulan pengganas Abu Sayyaf, yang berikrar pada IS pada 2014.

FMT pada Oktober membongkar kisah seorang remaja Sabah yang dilihat bertempur bersama bapanya dalam pertempuran di Marawi oleh tebusan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan militan itu pulang dari selatan Filipina untuk mengambil anak lelakinya itu dari rumah keluarganya di Tawau pada 2015.

Fuzi berdukacita ahli keluarga dan pemimpin tempatan gagal memberitahu pihak berkuasa mengenai kehilangan remaja itu.

Sabah dilaporkan menjadi laluan penjenayah dari dan ke selatan Filipina yang berperang dengan pemberontak sejak berdekad lama.

Pada Jun, pihak berkuasa menangkap 3 lelaki di Sandakan kerana cuba menyertai kumpulan IS di Marawi, manakala pada Ogos, polis mengumumkan tangkapan anggota sel IS dan sekumpulan lelaki yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf.

Kumpulan berkaitan Abu Sayyaf itu, sesetengahnya ada yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, dipercayai pergi ke Kuala Lumpur melalui Sandakan dan Labuan dari selatan Filipina menggunakan dokumen palsu.