‘Kerajaan tak ikhlas janji beri subsidi untuk kenaikan harga minyak’

wong-chen-petrol-1KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat PKR mendakwa kerajaan tidak ikhlas dalam janjinya untuk bertindak jika harga runcit petrol RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter selama 3 bulan berturut-turut.

Wong Chen berkata, janji itu juga kekurangan maklumat kerana tiada komitmen diberikan mengenai cara subsidi akan diberikan.

“Tawaran yang ikhlas ialah memberi subsidi kepada orang ramai sekarang tanpa syarat. Dan sebahagian besar hasil minyak tambahan kerajaan akan dikembalikan kepada pengguna,” katanya kepada FMT.

Ini kerana, katanya, Putrajaya akan memperoleh pendapatan tambahan daripada kenaikan harga minyak mentah.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam berkata, kerajaan akan mengenal pasti “tindakan sewajarnya” untuk mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api, jika harga runcit RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama 3 bulan.

Langkah itu, katanya, tidak akan membebankan rakyat, selain memastikan kadar inflasi terkawal dalam jangka sederhana serta panjang.

Kerajaan menetapkan harga runcit minyak setiap minggu menggunakan mekanisme penetapan harga automatik dan pengumuman dibuat setiap Rabu.

“Mekanisme penetapan adalah secara mingguan dengan purata perubahan kos produk petroleum minggu sebelumnya akan menentukan harga bagi minggu berikutnya.

RON95 kini dijual pada harga RM2.38 seliter, selepas kenaikan 7 sen daripada minggu lepas. Harga diesel naik 5 sen kepada RM2.25 seliter.

Wong berkata, semua pengguna akan terkesan jika harga minyak mencecah RM2.50 seliter.

“Sebaliknya, kerajaan (Datuk Seri) Najib (Razak) akan menerima hasil minyak tambahan dengan gembira,” katanya sambil menambah untuk setiap kenaikan AS$1 dalam harga minyak mentah dunia, kerajaan akan memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM300 juta.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Kelana Jaya berkata, kenaikan minyak mentah daripada AS$50 kepada AS$70 setong menyebabkan dana kerajaan bertambah RM6 bilion.

Wong meramalkan harga minyak mentah akan meningkat disebabkan krisis politik di Arab Saudi.

Arab Saudi ialah pengeksport terbesar minyak mentah dunia dan sebarang ketidakstabilan dalaman akan mendorong kenaikan harga bahan api.

Harga minyak mentah mencapai paras tertinggi dalam tempoh 2 tahun ini susulan penahanan beberapa pegawai tertinggi Arab Saudi baru-baru ini, ketika ketegangan semakin memuncak antara Iran dan Arab Saudi sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap pertempuran berlaku di rantau itu.

Putera Mahkota, Mohammed bin Salman mengetuai operasi anti-rasuah besar-besaran di Arab Saudi dengan berpuluh-puluh pegawai berpangkat tinggi dan ahli perniagaan ditahan, termasuk 11 putera dan 4 menteri.