Rakyat Sabah istimewa kerana kebebasan agama terjamin, kata bishop

Bishop-Melter-Jiki-Tais_church_sabah_60KOTA KINABALU: Presiden Majlis Gereja-gereja Sabah (SCC) Bishop Melter Jiki Tais berkata rakyat Sabah istimewa dan diberkati kerana hidup di negeri yang menjamin kebebasan beragama dan orang berbilang kepercayaan hidup bersaudara.

Melter berkata beliau tidak mahu terbabit dalam politik tetapi beliau rasa bertanggungjawab untuk menjelaskan masyarakat Kristian di Sabah menikmati kebebasan beragama bawah kerajaan sekarang.

“Kami tiada isu di sini, termasuk penggunaan kalimah ‘Allah’. Di Sabah, kita hidup dalam harmoni. Ada ahli keluarga saya yang beragama Islam,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Melter menambah masyarakat Kristian di Sabah juga dibenarkan mengamalkan agama secara terbuka, contohnya acara tahunan “Walk for Jesus” di Kota Kinabalu. Katanya lagi, datuk bandar Kota Kinabalu yang beragama Islam akan turut menyertai acara itu tahun ini.

Melter sempat memuji kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman sebagai contoh kesederhanaan beragama dan saling hormat menghormati.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meningkatkan dana untuk pertubuhan dan sekolah bukan Islam di Sabah, dan berkata beliau tidak perasan adakah negeri lain ada memberikan peruntukan seperti itu secara konsisten.

Tahun ini, menteri kewangan Sabah itu mencadangkan peruntukan RM32 juta untuk pelbagai badan bukan Islam di Sabah.

Melter turut mengundang Musa merasmikan himpunan tahunan Krismas di Kota Kinabalu, yang akan diadakan pada 11 Disember di Padang Merdeka.

Sementara itu, Musa menggesa perkara agama dan politik di Sabah dipisahkan dan menegur ahli politik, khususnya pembangkang, untuk tidak mempolitikkan isu agama.

“Kita mesti hormat agama. Jadi saya minta orang-orang politik janganlah gunakan isu agama dalam politik,” katanya, dan menambah ada isu sekarang ini menjadi subjek kegemaran parti pembangkang muktahir ini.

“Bagi kami di Sabah, kita semua sama, dan atas sebab itu kita hidup harmoni. Paling utama, kita mesti bantu membangunkan negeri ini,” katanya.

Kenyataan itu menyusuli ucapan oleh Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal kepada pimpinan gereja di Keningau pada Ahad.

Shafie dalam ucapannya berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) harus membenarkan masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah “Allah” dalam upacara keagamaan.

Beliau menambah kalimah itu bagaimanapun tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam di Malaysia Barat.