Anak Husam mengaku tidak bersalah miliki dadah

Ahmad-Syafi-Husam_law_600

KOTA BHARU: Anak lelaki Adun Salor Datuk Husam Musa hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan memiliki dadah jenis metamfetamina seberat 20 gram lima hari lalu.

Ahmad Syafi Husam, 29, memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Dia didakwa memiliki dadah berkenaan di tepi sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong pada 3.30 petang 18 November lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta sama, membawa hukuman penjara antara 2 hingga 5 tahun serta 3 hingga 9 sebatan jika sabit kesalahan.

Majistret Kamarul Hasyime membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin manakala terduduh diwakili 5 peguam diketuai Firdaus Mohd Yusof.