TPM: Gagal hadir persidangan, ahli Parlimen BN dikenakan tindakan dalaman

zahid-parlimen

KUALA LUMPUR: Tindakan dalaman telah diambil terhadap ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu yang menyaksikan Rang Undang-Undang Perbekalan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau juga menasihatkan ahli Parlimen BN supaya lebih serius untuk menghadiri sesi Dewan Rakyat.

“Yang penting kita menang tetapi sebenarnya saya telah ambil tindakan… tindakan dalaman. Saya menasihatkan mereka, mereka harus lebih serius hadiri persidangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan misi bantuan makanan untuk pelarian Rohingya di Bangladesh di perkarangan Parlimen, hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu kecoh apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak berperang mulut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan undi belah bahagian berkenaan.

Kekecohan itu tercetus apabila G Manivannan (PKR-Kapar) bangun sebaik sahaja Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.