Dr M akui jadi PM terlalu lama boleh bawa nepotisme

Mahathir-pm2PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerajui kerajaan selama 22 tahun berkata pemimpin yang terlalu lama memerintah akan menyebabkan korupsi dan nepotisme.

Bercakap dalam forum khas dan soal jawab bersama golongan muda baru-baru ini, bekas perdana menteri itu memberikan contoh Robert Mugabe, presiden Zimbabwe selama 30 tahun sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa tentera minggu lalu.

“Ada kecenderungan untuk mengekalkan kuasa di kalangan keluarga, dan ia membawa kepada kuasa mutlak, dan kuasa mutlak akan membawa kepada korupsi secara mutlak,” kata Dr Mahathir, yang sering dituduh mengamalkan nepotisme ketika pentadbirannya.

Dr Mahathir, dilantik perdana menteri ke-4 pada 1981 sebelum mengumumkan persaraan pada 2003.

Menurutnya, Malaysia sejak kemerdekaan cuba menghalang nepotisme dengan cara menyekat kuasa raja dalam perkara pentadbiran.

“Kuasa eksekutif itu sebaliknya diberikan kepada perdana menteri. Tetapi walaupun perdana menteri dipilih oleh anda dan dia terlalu lama di situ, dia mungkin akan mewujudkan dinasti.

“Sebab itu pilihan raya diadakan, tetapi masih ada kecendurangan memusatkan kuasa kepada keluarga.”

Dr Mahathir sekali lagi menolak anggapan beliau cuba membuka jalan untuk anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ketika memerintah dulu.

Sebaliknya, beliau mendakwa ketika pentadbirannya, Mukhriz dihalang daripada menyertai politik.

“Apabila saya meletak jawatan, saya fikir anak saya tidak perlu lagi mengorbankan cita-cita politiknya demi menjaga repuasi saya.”

Pada 2004, setahun selepas persaraan Dr Mahathir, Mukhriz menerima undian terbanyak untuk menganggotai jawatan kuasa Pemuda Umno. Mukhriz dilantik ke dalam Kabinet selepas memenangi kerusi Jerlun pada pilihan raya 2008. Selepas pilihan raya 2013, Mukhriz dilantik menteri besar Kedah selepas hilang kepercayaan Adun, di sebalik kritikannya terhadap Datuk Seri Najib Razak.