Malaysia bebas beragama tetapi ateisme tiada tempat, kata timbalan menteri

Asyraf-Wajdi-Dusuki-ateisme-tiada-tempatKUALA LUMPUR: Fahaman tidak percaya terhadap Tuhan, atau ateisme, tidak ada tempat di Malaysia dan menyalahi perlembagaan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Malah, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pengikut ateism boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

“Kena faham dalam dalam konteks Malaysia, kebebasan beragama itu bukan bermakna kebebasan untuk tidak beragama.”

Ateisme merujuk kepada fahaman yang menolak kewujudan Tuhan.

Menurut Asyraf, adalah “tidak berpelembagaan untuk menyebarkan fahaman tidak beragama” di dalam konteks Malaysia.

“Kebebasan beragama tidak bermakna bebas dari tidak ada apa-apa agama,” katanya sewaktu sesi pertanyaan bagi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Asyraf menjawab soalan Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja) yang meminta penjelasan sejauh mana gejala ateis berkembang di Malaysia dan langkah menyekatnya.

Katanya, fahaman ateisme menyangkal kesucian agama lain di Malaysia dan bercanggah dengan undang-undang berkaitan ketenteraman awam dan moral.

“Saya setuju ideologi ateis ini amat berbahaya kerana ia bukan hanya menyebarluaskan kepada orang Islam sahaja tetapi juga kepada bukan Islam.

“Dalam konteks Rukun Negara, kita tidak boleh bertentangan dengan prinsip yang pertama iaitu kepercayaan kepada tuhan,” kata Asyraf.

Tambahnya, pengikut fahaman ateis ini menjalankan aktiviti mereka melalui media sosial seperti Facebook dan pihaknya juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Malangnya pihak Facebook menjawab maklum balas bahawa ia tidak bertentangan dengan apa-apa polisi yang dibuat mereka.

“Kalau SKMM nak ambil tindakan ia tidak boleh menyekat satu-satu Facebook milik peribadi, kalau nak sekat, kena sekat keseluruhan Facebook.”

Ogos lalu, ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada kumpulan ateis agar tidak menimbulkan kegelisahan rakyat Malaysia terutama umat Islam mengenai aktiviti dilakukan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/16/khalid-beri-amaran-kepada-golongan-ateis/