Jangan terlalu memuji Yap Ah Loy, kata Perkasa

perkasa-yap-ah-loy-3

PETALING JAYA: Perkasa mempersoalkan mereka yang memberikan pengiktirafan kepada Yap Ah Loy yang dikatakan membangunkan Kuala Lumpur, susulan pelancaran setem peringatan oleh Pos Malaysia sebagai penghormatan kepada kapitan Cina itu baru-baru ini.

Sebaliknya, kumpulan hak Melayu itu berkata Yap terlibat dalam aktiviti jenayah di bandar itu.

“Yap Ah Loy datang ke Kuala Lumpur kemudian. Perniagaannya adalah perdagangan candu, pelacuran dan perjudian,” kata Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh.

Menurutnya, Kuala Lumpur dibuka oleh Raja Busu, kerabat diraja Selangor pada abad ke-19.

Sirajuddin berkata demikian mengulas kenyataan dibuat semasa pelancaran setem peringatan Yap Ah Loy oleh Pos Malaysia dengan kerjasama beberapa organisasi Cina sempena tahun kelahiran Yap yang ke-180.

“Apabila kita melihat sejarah, kita dapat melihat tanpa Yap Ah Loy, tidak akan ada Kuala Lumpur,” kata Yap Wai Ming, cicit Yap, semasa pelancaran setem tersebut Rabu lalu.

Yap merupakan pedagang dari China dan menjadi kapitan ke-3 Kuala Lumpur pada 1868. Jawatan itu memainkan peranan besar dalam masyarakat Cina tempatan di Tanah Melayu ketika itu, terutama dalam menjalinkan hubungan erat dengan penguasa Melayu.

Yap yang meninggal dunia pada 1885 pada usia 48 tahun juga dikatakan memainkan peranan besar dalam menamatkan perang saudara di Selangor.

Beliau sering disebut dalam buku sejarah sebagai individu yang mengubah Kuala Lumpur daripada sebuah bandar perlombongan bijih timah kecil kepada sebuah pusat komersil yang berkembang pesat.

Ahli sejarah dan akademik sudah lama berdebat mengenai siapa yang mengasas Kuala Lumpur, tetapi secara umum bersetuju dengan peranan yang dimainkan Yap semasa awal pembangunan ibu negara itu.

Sejarawan terkemuka Tan Sri Prof Khoo Kay Kim sebelum ini berkata pengasas Kuala Lumpur adalah Sutan Puasa, saudagar berasal dari Sumatra yang kemudiannya melibatkan diri dalam industri perlombongan di sekitar sungai di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Sirajuddin turut mempersoalkan anggapan mengenai peranan migran Cina dalam pertumbuhan Kuala Lumpur, sambil berkata ia diperbesarkan.

“Bolehkah anda kata tanpa orang Cina, Brunei tidak akan jadi seperti hari ini?

“Bolehkah anda kata tanpa orang Cina, Indonesia tidak akan jadi seperti hari ini? Terdapat bandar besar di Indonesia yang berkembang tanpa orang Cina.

“Jangan puji Yap Ah Loy lebih-lebih. Dia datang ke sini. Dia cuma salah seorang pemimpin masyarakat dulu,” katanya.