Aktivis persoal hipokrasi feminis apabila suami larang Siti Hasmah bertudung

Rafidah-Hanim_siti-hasmah_600

PETALING JAYA: Seorang aktivis mempertikaikan dwi-standard segolongan masyarakat kerana berdiam mengenai isu Tun Dr Siti Hasmah Ali dilarang bertudung oleh suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Rafidah Hanim Mokhtar, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia, berkata dari sudut feminisme, seorang wanita harus berhak menentukan bagaimana dia mahu berpakaian.

“Tiada hujah dari sudut feminisme yang selalu kita temui apabila isu pakaian wanita dibincangkan, iaitu sebagai seorang wanita, beliau harus berhak menentukan bagaimana dia mahu berpakaian. Dalam kes ini, Tun Hasmah sangat mahu memakai tudung selepas pulang dari menunaikan haji.”

“Sekarang ketaatan seorang isteri kepada suami di dalam Islam, yang sentiasa menjadi isu kepada golongan pro-feminis, nampaknya boleh diterima dalam hal Tun Hasmah,” katanya di Facebook.

Beliau mengulas komen pembaca sebuah portal mengenai Dr Siti Hasmah yang mendedahkan beliau tidak bertudung kerana tidak diizin suami.

Isteri bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika diminta reaksi kepada dasar larangan bertudung ke atas pekerja kaunter depan hotel baru-baru ini.

“Suami saya larang saya bertudung. Jika mahu memakai tudung, perlu minta kebenaran suami,” kata Siti Hasmah semalam.

Isu tudung atau hijab sengit dibincangkan di internet di mana segolongan feminis melihat tudung sebagai simbol pemaksaan ke atas tubuh wanita, manakala segolongan feminis pula melihat tudung sebagai kenyataan yang kuat apabila wanita mengenakan tudung atas kehendak sendiri.

Pada asasnya, kedua-dua golongan feminis itu mengatakan seorang wanita harus berhak menentukan bagaimana dia mahu berpakaian.

Dalam kes Dr Siti Hasmah, Dr Rafidah berkata beliau terkejut melihat dwi-standard sesetengah pengulas dalam ruang komen portal itu.

Beliau menekankan perkara itu dalam catatannya, sambil menambah beliau menghormati Dr Siti Hasmah sebagai seorang doktor yang menambah baik penjagaan kesihatan di Kedah dan isteri yang taat.

“Catatan ini mengenai dwi-standard sesetengah orang,” kata Dr Rafidah.

Beliau menambah untuk wanita Islam, mereka memahami tentang batas ketaatan, iaitu “tiada ketaatan pada perkara dosa”.

Baru-baru ini, Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) baru-baru ini dikecam kerana mempertahankan dasar larangan tudung untuk kakitangan yang bertugas di kaunter hadapan.

Pemimpin kerajaan dan pembangkang serta aktivis hak asasi manusia menentang dasar itu.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata isu pakaian berkaitan agama seperti tudung oleh orang Islam dan serban oleh orang Sikh sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.