Rais Yatim cadang bahasa Melayu jadi bahasa rasmi Asean

rais-yatim-southeast-asia-3

BANGKOK: Bahasa Melayu yang ditutur lebih 300 juta orang atau separuh daripada penduduk di rantau Asia Tenggara perlu menjadi bahasa rasmi Asean, kata Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Menurutnya, bahasa Melayu perlu digunakan sebagai bahasa diplomatik dan komunikasi rasmi oleh anggota Asean, selari kedudukannya sebagai bahasa induk di rantau Asia Tenggara.

“Bahasa induk di wilayah Asia Tenggara ini adalah bahasa Melayu, tetapi sayangnya bahasa Melayu tidak diletakkan di tempatnya, yakni tidak digunakan sebagai bahasa diplomatik dan komunikasi rasmi pada majlis dan acara rasmi Asean,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Forum “Pertemuan Dunia Melayu 2017” anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Thailand hari ini.

Rais berkata, pemimpin Asean yang menggunakan bahasa Melayu perlu memainkan peranan dengan mengangkat agenda bahasa Melayu ke peringkat lebih tinggi, iaitu di peringkat serantau.

Menurutnya, usaha memperkasa bahasa Melayu di peringkat serantau juga selaras cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar bahasa Melayu dijadikan bahasa Asean pada 2050.

Katanya, dalam satu mesyuarat mengenai budaya di peringkat Asean di Jakarta pada 1987, Malaysia dan Indonesia memperkenalkan usaha meletakkan bahasa Melayu/bahasa Indonesia sebagai bahasa pilihan dalam ucapan dan diplomasi pertubuhan serantau itu.

Bagaimanapun, sejak 1987 usaha itu tidak diperkembangkan.

Menurut Rais, usaha memartabat bahasa Melayu ke kedudukan yang setaraf statusnya sebagai bahasa induk rantau ini adalah sesuatu yang lojik kerana jika tidak dilakukan, bahasa Inggeris akan menjadi bahasa rasmi rantau ini.

Beliau berkata, bangsa Melayu akan menjadi nominal jika bahasa Melayu tidak diletak pada status dan kedudukan sepatutnya di peringkat serantau dan Asean.

Beliau berkata, Gapena dan DMDI mempunyai peranan penting dalam mewujudkan jalinan kerjasama serantau untuk memperkuatkan usaha bagi meningkatkan martabat dan status bahasa Melayu ke tahap sepatutnya.

Rais juga mahukan Majlis Bahasa Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura menjadi batu loncatan untuk menjalin kerjasama serantau dan bukan sekadar membincangkan perkara berkenaan istilah.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua 1 Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan dan Presiden DMDI Thailand, Wan Muhamad Nor Matha yang juga bekas speaker Parlimen Thailand.