Zairil: Kenapa tak import buku teks melalui tender terbuka?

Zairil-Khir-Johari_buku-teks_600

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari terus mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan membeli buku teks bahasa Inggeris import tanpa melalui tender terbuka.

Jurucakap Parlimen DAP untuk pendidikan, sains dan teknologi itu berkata, pembelian buku teks import itu nampaknya dibuat melalui rundingan terus dengan penerbit tempatan Pan Asia Publications dan Desa Fikir.

Katanya, proses itu jelas berbeza dengan pembelian buku teks tempatan yang tertakluk kepada tender terbuka kompetitif.

“Kementerian Pendidikan bertanggungjawab memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia kenapa ia memutuskan penggantian buku teks tempatan dengan yang ‘diimport’ dalam masa singkat dan tanpa prosedur tender sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini bukan kali pertama Zairil bercakap mengenai isu ini. Khamis lalu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kos pembelian buku teks baharu dan buku import itu hanya sesuai dalam konteks British kerana tidak menggunakan isi kandungan tempatan.

Beliau berkata, buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk tahun 1 dan tingkatan 1 yang diluluskan melalui tender terbuka dengan kos RM9.20 dan RM7.50 setiap salinan.

“Ini menjadikan kosnya kira-kira RM7.1 juta berdasarkan jumlah pendaftaran pelajar semasa, perbezaan jauh berbanding buku teks import,” katanya merujuk kos penyediaan buku teks import bagi setiap pelajar yang berjumlah RM33 juta.

Ketika mempersoalkan keputusan Kementerian Pendidikan menggunakan buku teks baharu kurang setahun selepas kelulusan dan pembelian buku teks tempatan, Zairil berkata, buku teks baharu itu dibeli tanpa disertakan kandungan digital.

“Hampir setiap muka surat dalam buku teks itu mengandungi arahan dan rujukan kandungan audio yang sudah dikeluarkan daripada versi tempatan.

“Walaupun usaha meningkatkan kecekapan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan guru perlu disokong, ini tidak bermakna Kementerian Pendidikan boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka, dan lebih teruk lagi merisikokan masa depan anak-anak kita melalui keputusan tidak bertanggungjawab dan tidak bijak.”